Penilaian Peguam Negara perlu dilakukan berdasarkan kriteria khusus - Penganalisis politik
Rahimah Abdullah
Ogos 29, 2022 21:01 MYT
Ogos 29, 2022 21:01 MYT
KUALA LUMPUR : Penilaian terhadap Peguam Negara perlu dilakukan berdasarkan kriteria khusus atau pandangan umum, ujar Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis.
Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan Peguam Negara tidak ditukar kerana tekanan pihak tertentu.
"Penilaian Peguam Negara itu patut dilakukan berdasarkan template atau kriteria tertentu. Menurunkan atau melantik Peguam Negara itu perlu berdasarkan rekomendasi dan setelah dilantik, dia perlu dilihat berdasarkan performance. Kita tidak mahu Peguam Negara itu ditukar kerana tekanan pihak tertentu.
"Kalaulah sewenang-wenangnya (Peguam Negara) boleh ditukar kerana desakan-desakan tertentu, maka, saya tidak bersetuju dengan itu. Kita perlu ada kriteria khusus, atau pandangan umum seperti mana dilakukan hakim ini, rang undang-undang itu boleh dibuat penilaian kepada hakim-hakim seterusnya.
"Begitu juga Peguam Negara, kita meminta Majlis Peguam atau mungkin peguam-peguam di kementerian boleh diguna untuk menilai. Peguam Negara ini lantikan awam, jadi kita patut memberikan pihak awam menilainya," katanya semasa program Agenda AWANI pada Isnin.
Penilaian berdasarkan kriteria khusus itu juga katanya adalah lebih telus berbanding hanya kerana kepentingan dan desakan tertentu yang dilihat berniat sebaliknya apabila menukar Peguam Negara.
Malah, ujar Mujibi, walaupun penukaran Peguam Negara oleh Perdana Menteri dengan berdasarkan pilihannya adalah dibenarkan, namun, secara moralnya ia tidak baik untuk kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Pada Sabtu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman semasa berucap pada majlis Taklimat Khas Presiden UMNO berkata, pelantikan Peguam Negara adalah atas nasihat Perdana Menteri dan beliau harus melantik 'orangnya' untuk memudahkan segala urusan.
Justeru Ahli Parlimen Pengerang itu membangkitkan persoalan, mengapa Perdana Menteri tidak menukar Peguam Negara jika kuasa penukaran Peguam Negara di tangannya sebagai pemimpin nombor satu negara.