'Pengundi tak mahu Tun M ubah Langkawi jadi Hawaii' - Penganalisis
Wan Syamsul Amly
April 16, 2018 12:26 MYT
April 16, 2018 12:26 MYT
Kemajuan 'luar biasa' yang akan dibawa calon Pakatan Harapan (PH) untuk Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad seandainya menang, dilihat bakal menutup sumber rezeki penduduk asal di kawasan berkenaan.
Penganalisis politik, Datuk M.Periasamy menegaskan, dapatan itu diperolehinya selepas tinjauan dibuat yang turut mendapati pengundi Langkawi tidak mahu calon yang terlalu berumur di sana.
"Ada sentimen daripada pengundi di sana sendiri yang mengatakan Dr Mahathir terlalu tua untuk menjadi Ahli Parlimen di Langkawi.
"Mereka turut berpandangan, seandainya Dr Mahathir menang, pembangunan yang akan dibawanya kelak bakal menjadikan Langkawi seperti Hawaii.
"Ia akan menyebabkan imej kampung Melayu di sana hilang dan digantikan pusat pelancongan yang mengubah persepsi serta melenyapkan banyak pekerjaan penduduk asal seperti nelayan," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Pada Ahad, teka-teki di mana Pengerusi PH itu 'bertempur' pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akhirnya terjawab.
Dalam satu majlis, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Dr Mahathir akan menjadi calon mewakili blok pembangkang bagi kerusi Parlimen (P004) Langkawi.
Dalam pada itu jelas Periasamy, penduduk Langkawi yang ditemuinya juga yakin Dr Mahathir akan banyak menggunakan isu kemajuan selain menjanjikan pembangunan luar biasa Parlimen itu sepanjang kempennya pada PRU kali ini.
Periasamy turut memberitahu, Dr Mahathir sendiri seharusnya mengetahui perubahan dan perbezaan landskap politik kini berbanding 19 tahun selepas bekas perdana menteri itu melepaskan jawatannya di dalam kerajaan.
"Zaman berubah, pemikiran juga lain. Dr Mahathir tidak boleh fikir situasi politik dahulu sama dengan sekarang atau masa depan.
"Kita sekarang bersedia menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan ia pasti berbeza dengan zamannya dahulu," katanya.
Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata, mahu tidak mahu, rakyat perlu bersedia kerana IR4.0 akan membawa kepada kejayaan wawasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Perdana Menteri juga sebelum ini memberitahu, peruntukan sebanyak RM1.3 bilion yang diumumkannya untuk pembangunan infrastruktur Langkawi dua bulan lepas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pulau itu.
BACA. FAHAM. UNDI: Ikuti laporan komprehensif PRU14 di sini
"Dana itu merangkumi RM500 juta bagi menaik taraf Hospital Langkawi dan RM600 juta untuk projek mengatasi masalah air di Padang Mat Sirat," kata Najib.
Pada Ahad, Dr Mahathir turut mengumumkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan bertanding di kerusi Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra pada PRU14.
Kerusi Langkawi disandang Datuk Nawawi Ahmad, yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti lebih 11,000 undi pada PRU lima tahun lalu.
#M Periasamy
#Mahathir Mohamad
#Malaysia Memilih
#Mukhriz Mahathir
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#PRU14
#UMNO
#Wan Azizah