Pengundi Sungai Kandis protes?
Sinar Harian
Ogos 5, 2018 15:05 MYT
Ogos 5, 2018 15:05 MYT
Pengundi memberi isyarat protes dengan tidak keluar mengundi menyebabkan kemerosotan jumlah pemilih berdaftar keluar membuang undi pada PRK Dun Sungai Kandis berlangsung semalam.
Sehingga jam 4 petang semalam hanya 45 peratus daripada keseluruhan 51,217 pemilih berdaftar dilapor keluar mengundi.
Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata disebabkan ia PRK pertama selepas PRU14, pengundi juga mungkin tidak melaksanakan kewajipan kerana sudah letih berpolitik sebelum ini.
Beliau berkata, kemerosotan jumlah undi juga seolah-olah isyarat diberi pengundi terhadap pimpinan PH apabila dilihat tidak mampu menunaikan manifesto PRU14 yang lalu.
"Jumlah undi merosot ketika PRK adalah perkara yang biasa berlaku namun pada PRK Sg Kandis hari ini (semalam), kemerosotan agak luar biasa.
"Mungkin disebabkan ia PRK pertama selepas PRU jadi pengundi sudah letih berpolitik,” katanya.
Ujarnya, kekurangan jumlah pengundi membuang undi semalam turut memberi isyarat atau mesej tertentu.
Menurutnya, selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan manifesto PRU14 bukan kitab dan hanya dua daripada 10 janji dapat dilaksana, ia memberi kesan kepada sentimen pengundi.
"Pengundi keluar mengundi kerana manifesto diuar-uarkan, mereka dapati masa PRU14, manifesto beria-ia diketengahkan namun dari segi pelaksanaan sukar dilaksana menyebabkan mereka rasa terkilan dan ia mungkin jadi punca mereka malas keluar mengundi.
"Mereka mungkin nak beri isyarat berupa protes dengan tidak turun mengundi. Isu-isu agama dan kaum dimainkan dalam kempen BN juga mempengaruhi pengundi khususnya penyokong BN dan Pas,” katanya.
Dr Awang berkata, jika sebelum ini isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, IMDB dan GST dimainkan, kali ini isu tersebut tidak mempengaruhi pengundi apabila Najib berundur, kes 1MDB dalam siasatan dan GST sudah dihapuskan.
Katanya, isu tersebut tidak mempengaruhi pola dan landskap politik PRK. Biasanya ketika PRK rakyat lebih terkesan isu setempat.
Awang berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan sebahagian besar pengundi tidak keluar mengundi kerana rasa tidak peduli pada keputusan PRK.
"Mereka mungkin berpendapat sama ada kalah atau menang tak akan ubah landskap politik negeri atau persekutuan kerana ia tidak gambarkan keadaan politik keseluruhan.
"Apa yang berlaku (kemerosotan undi) pada PRK Sg Kandis ini gambarkan isyarat apa yang pengundi mahukan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata kebiasaannya peratusan keluar mengundi pada PRK memang rendah berbanding PRU.
Menurutnya, pengundi mungkin berpendapat keputusan PRK kali ini tidak akan memberi banyak perubahan dalam konteks Dun di Selangor.
"PH telah menang selesa dari segi semua jumlah kerusi, kemenangan PH adalah tinggi berbanding hanya lima kerusi (empat BN, satu Pas) dimenangi pembangkang.
"Jika dianalisis peratusan, mereka yang tak keluar mengundi mungkin penyokong Pas berikutan parti itu tidak bertanding sekaligus tak mahu beri undi kepada BN. Ia mungkin juga kerana kenyataan pemimpin Pas tidak konsisten undi perlu diberi kepada siapa bila tidak letakkan calon,”katanya.
Dr Ahmad Marthada berkata, pihaknya juga berpendapat sesetengah pengundi yang mengundi PH tidak keluar mengundi sebagai tanda protes kerana ia tidak beri kesan kepada mereka.
Faktor pengundi luar tidak balik untuk mengundi ia juga beri kesan kepada peratusan keluar mengundi.
"Bagi mereka PH sudah bina kerajaan, jika BN menang pun tak akan ubah apa-apa landskap politik negara,” katanya.
Beliau dalam pada itu menolak andaian bahawa kemerosotan undi itu akan menular pada PRK Dun Balakong dan Dun Seri Setia.
"Pola pengundian seperti ini tidak mungkin akan berlaku di Balakong dan Seri Setia.
Kita lihat pola kecenderungan tidak keluar mengundi terdiri pengundi Melayu kerana hasil pemerhatian di media sosial mereka ini yang banyak dipengaruhi dan tak puas hati isu hak keistimewaan orang Melayu,raja-raja, berkaitan agama.
"Pengundi bukan Melayu tidak dipengaruhi faktor ini.Saya tak rasa situasi sama akan berlaku di Dun Balakong, jumlah pengundi keluar mengundi mungkin rendah tapi tak serendah di Sungai Kandis,” katanya corak pengundian berbeza antara pengundi bandar dan luar bandar.
Pada PRU 14 lalu, sejumlah 50,800 pemilih berdaftar dengan jumlah 43,470 (85.57 peratus) keluar mengundi.
#Barisan Nasional
#DUN
#penganalisis politik
#pengundi
#Pensyarah Kanan
#pilihan raya kecil
#PRK
#Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed
#Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi
#protes
#sungai kandis
#UM
#universiti malaya