Pengundi perlu tolak calon tangkap muat - Abdul Mutalif

Astro Awani
Mei 8, 2018 17:05 MYT
MUTALIF: Apa guna kita bercakap isu lain kalau isu asas rakyat seperti lif rosak, peningkatan kes denggi, dadah tidak diselesaikan kepimpinan terdahulu. - Gambar fail
Pengundi perlu lebih bijak dalam memilih wakil rakyat yang benar-benar mewakili mereka dan bukannya sekadar calon tangkap muat yang mempunyai agenda peribadi demi kepentingan sendiri.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata setiap kawasan memerlukan pejuang isu rakyat yang mampu menyelesaikan masalah mereka untuk kehidupan yang lebih selesa dan harmoni.
"Apa guna kita bercakap isu lain kalau isu asas rakyat seperti lif rosak, peningkatan kes denggi, dadah tidak diselesaikan kepimpinan terdahulu?
"Inilah isu yang setiap hari dihadapi penduduk terutama di DUN Taman Medan. Kalau ini tidak mampu diselesaikan, bagaimana pula kita boleh bercakap mengenai isu-isu besar sekadar untuk nampak hebat di mata rakyat," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Justeru tegasnya, aktivis kemanusiaan yang mempunyai pengalaman luas dalam misi bantuan dalam dan luar negara itu telah menggunakan pengalamannya bagi mendekati, mendengar dan mencari jalan penyelesaian mengenai masalah dibangkitkan penduduk sekitar.
Menurutnya, masyarakat setempat mengadu, isu lif dan gejala sosial sudah menjadi buah mulut yang tidak boleh diselesaikan sejak wakil rakyat telah dipilih yang mana ia lebih banyak menemui jalan buntu dan pintu kegagalan.
DUN Taman Medan di bawah Parlimen Petaling Jaya menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Abdul Mutalif, Ariffin Mahayuddin (Pas) dan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (PKR).
Penyandang DUN Taman Medan ialah Haniza Mohamed Talha dari PKR yang memegang kerusi itu sejak PRU12.
#Abdul Mutalif Abdul Rahim #Ariffin Mahayuddin #Barisan Nasional #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #PAS #PKR #Syamsul Firdaus Mohamed Supri #Taman Medan
;