Pengundi muda cenderung pilih calon mesra anak muda - Jamawi
Irwan Muhammad Zain
Mac 29, 2018 11:23 MYT
Mac 29, 2018 11:23 MYT
Barisan Nasional (BN) perlu memenangi hati pengundi muda yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dengan membariskan lebih ramai calon muda, kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar.
Katanya tuntutan untuk membariskan lebih ramai calon muda bersesuaian dengan statistik yang menunjukkan peningkatan jumlah pengundi dari kalangan orang muda.
Selain itu, kesinambungan program Tranformasi Nasional 2050 (TN50) yang dibawa oleh BN juga perlu ditonjolkan dengan menampilkan lebih ramai calon muda.
"Kita harus juga melihat bahawa kesinambungan TN50 ini adalah untuk diwarisi kepada kepimpinan orang muda, maka jika kita gagal untuk mengisi pengisiannya maka rakyat keseluruhannya melihat TN50 ini sebagai retorik.
"Keyakinan kita daripada program TN50 kita dan program gerak gempur di bawah aura atau pun suara anak muda untuk melihat BN menampilakn lebih ramai calon muda sangat jelas, dan kita tidak boleh menafikan harapan dan impian orang muda ini kerana kalau kita menindakkan impian orang muda ini maka kita dilihat tidak bersedia untuk membawa anak muda untuk maju kehadapan," katanya kepada Astro AWANI.
Lebih mengecewakan bila ada pemimpin yang enggan melepaskan jawatan dengan berbagai alasan seolah-olah jawatan sebagai wakil rakyat itu hak milik mereka sahaja.
"Sampai ada yang mengugut pemimpin sekiranya saya ketua bahagian tidak dapat kemungkinan bilik gerakan tutup, kemungkinan jentera tidak bergerak," katanya lagi.
Katanya, BN perlu melihat kembali keputusan PRU13 yang mana undi anak muda sangat rendah di kawasan yang mana calon lama berbanding kawasan calon muda bertanding.
Peratusan lebih tinggi anak muda memilih BN di kawasan calon muda bertanding pada PRU13 yang lalu membuktikan anak muda mahukan calon yang lebih dekat dengan mereka.
#anak muda
#Barisan Nasional
#Gagasan Sejahtera
#Jamawi Jaafar
#Malaysia
#Pakatan Harapan
#PRU14
#Sabah