Pengundi luar Kelantan sokong BN - Ahmad Jazlan
Muhafandi Muhamad
April 13, 2018 07:51 MYT
April 13, 2018 07:51 MYT
Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan tetap meletakkan fokus kepada pengundi luar yang bakal pulang mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.
Namun, Timbalan Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakob percaya, pengundi luar kini bukan lagi penentu kepada kemenangan sesebuah parti politik yang bertanding di Kelantan.
"Betul, kalau sebelum ini undi luar penentu, tetapi kali ini, undi luar bukan lagi penentu.
"Pengundi luar yang akan beri kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) kerana mereka sudah berubah sikap.
"Ini kerana, kali ini mereka akan balik beramai-ramai untuk pastikan BN perintah Kelantan," katanya.
Menurutnya, perkara itu turut dipengaruhi oleh gabungan calon muka lama dan muka baharu selepas beberapa penyandang memberikan laluan.
Beliau juga percaya tidak akan berlaku sabotaj atau 'cah keting' dalam pemilihan calon kali ini kerana perundingan sudah dilakukan oleh pimpinan di peringkat akar umbi.