Pengundi hantu: Jamal Yunos tuduh perbuatan 'orang upahan' KJ

Hasimi Muhamad
Januari 14, 2023 16:36 MYT
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tuduhan yang dibuat Khairy adalah berniat jahat, dan sengaja memburukkan UMNO - Foto/AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: UMNO menyangkal dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa parti itu membawa masuk 'pengundi hantu' bagi meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tuduhan yang dibuat Khairy adalah berniat jahat, dan sengaja memburukkan UMNO.
Malah Jamal berkata, tag kedudukan perwakilan yang telah ditanggalkan di dalam dewan turut didakwa dilakukan oleh 'konco-konco' yang dibayar oleh bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
"Saya tak tahu mengenai kerusi yang dicabut tag itu.
"Kalau kenyataan itu dikeluarkan oleh Khairy, sedangkan kami yang dari semalam hingga hari ini berada di dalam dewan tersebut, saya yakin perbuatan tersebut dilakukan oleh orang-orang KJ sendiri.
"Dari semalam kami duduk di barisan yang sama, hari ini bila dia sebut tag tidak ada, kami tak perasan pun tidak ada tag. Jadi saya yakin mungkin dalam waktu rehat, tengah hari atau awal pagi tadi (tag itu dicabut), KJ saja yang tahu. Orang lain tak tahu, saya pun tak tahu.
"Saya yakin perkara itu dilakukan oleh beliau sendiri atau oleh konco-konco yang diupah termasuk yang 'boo' semalam. Saya yakin perbuatan 'boo' semalam sebahagian perwakilan dibayar oleh KJ dan orang-orangnya. Mereka semua diupah oleh saudara KJ," katanya dalam sidang media di Laman Media, sebentar tadi.
Terdahulu, Khairy berkata beliau difahamkan tag kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka telah pun ditanggalkan.
BACA SEMUA BERHUBUNG PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2022 DI SINI
Keadaan itu, dakwa Khairy berkemungkinan besar bagi membawa masuk pengundi luar bagi meluluskan usul kelapan yang akan berlangsung pada petang ini.
Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mendakwa lagi, sebahagian perwakilan yang berada dalam kumpulan 'boo' memaklumkan telah menerima bayaran sehingga RM300.
"Sekuat mana (tuduhan) diupah? Sekuat mana 'diboo' itu, setinggi itu lah nilai yang dibayar oleh mereka.
"Saya tahu kalau tiada bayaran, lagi kuat suara mereka 'boo', lagi banyak mereka dapat bayaran. Itu yang saya dimaklumkan," dakwa Jamal.
Justeru, Jamal berkata satu laporan polis, selain menghantar aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin UMNO agar mengenakan tindakan disiplin terhadap bekas Menteri Kesihatan itu.
"Saya minta Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan kepada KJ yang semberono mengeluarkan kenyataan berniat jahat.
"Selepas ini, saya akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin supaya mengambil tindakan dan berharap KJ boleh digantung daripada ahli UMNO," katanya.
#Khairy Jamaluddin #Jamal Md Yunos #Pemilihan UMNO #PAU2022
;