'Pengundi Cina perlu tetap pendirian pilih calon BN' - Rosni
Wan Syamsul Amly
Jun 16, 2016 10:44 MYT
Jun 16, 2016 10:44 MYT
Pengundi Cina di Kuala Kangsar perlu membuat pendirian untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid yang membawa aspirasi kerajaan negeri serta pusat.
Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari berkata, pemilihan calon selain BN dilihat tidak membawa kemajuan kepada pengundi Kuala Kangsar sendiri.
"Majoriti pengundi Melayu disifatkan sudah tekad untuk memberi kepercayaan kepada Mastura pada Sabtu ini.
"Kalau 'turnout' pengundi Cina rendah, tetapi kalau semua yang keluar itu sokong BN, ia kelebihan kepada BN.
"Biarlah kalau yang keluar mengundi itu semuanya memberi undi kepada BN, keluar mengundi kepada BN, kita harap yang sama juga kepada semua pengundi India dan pengundi orang Asli di Kuala Kangsar," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Pecahan kaum Cina adalah sebanyak 24 peratus dan 7 peratus India di Kuala Kangsar.
Dalam pada itu kata Rosni, Mastura disifatkan calon terbaik selain tokoh yang mempunyai bakat terpendam dalam politik.
"Dari segi diri sendiri serta profesional, Mastura dibesarkan dari keluarga politik dan kalau diberi peluang, dia dapat menunjukkan kepimpinan dalam politik
"Semasa arwah suaminya ada, Mastura selalu mengikut program arwah dan pengundi sudah mengenali Mastura, tidak ada masalah, saya fikir pengundi sudah bijak untuk memilih yang terbaik," jelasnya.
#Datin Mastura Mohd Yazid yang membawa aspirasi kerajaan negeri serta pusat
#Pengundi Cina di Kuala Kangsar perlu membuat pendirian untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN)
#Rosni Zahari