Pengiraan undi PRK kerusi Kuala Kangsar, Sungai Besar mula 5 petang
Bernama
Jun 18, 2016 18:41 MYT
Jun 18, 2016 18:41 MYT
Pengiraan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor bermula pada 5 petang ini.
Pengiraan itu dilakukan di kesemua pusat pengundian iaitu 23 di Kuala Kangsar dan 28 di Sungai Besar, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Selepas selesai pengiraan kertas undi, kotak-kotak undi akan dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar dan Dewan Sri Bernam di Sungai Besar.
Pengumuman keputusan dua PRK itu dijangka dibuat pada kira-kira 9 malam ini di dua pusat penjumlahan undi berkenaan.
PRK itu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Anggota Parlimen Sungai Besar Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei.
PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Datin Mastura Mohd Yazid iaitu balu Wan Mohammad Khair-il Anuar yang mewakili Barisan Nasional (BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).
PRK Sungai Besar pula melibatkan pertandingan tiga penjuru di antara Budiman Mohd Zohdi (BN), Dr Abdul Rani Osman (PAS) dan Azhar Abdul Shukur (Amanah).
BN memenangi kedua-dua kerusi itu pada pilihan raya umum 2013.