Penggantungan Parlimen: Agong sudah bertitah, tindakan kerajaan tidak tepat - Pembangkang

Isabelle Leong
Mac 22, 2021 16:29 MYT
ANWAR: Apabila Yang di-Pertuan Agong memberikan pandangan begitu, bermakna ia memberikan gambaran yang jelas bahawa pandangan kerajaan itu tidak tepat untuk menggantung Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen daripada blok pembangkang berpandangan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penggantungan Parlimen memberikan gambaran yang jelas bahawa tindakan kerajaan adalah tidak tepat.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebelum ini, Seri Paduka Baginda sudah menzahirkan pandangan bahawa darurat yang diisytiharkan tidak bermakna sidang Parlimen perlu digantung.
“Jadi cara kami melahirkan bantahan kami kepada keputusan penggantungan Parlimen walaupun Yang di-Pertuan Agong telah memberikan pandangan bahawa darurat ini tidak bermakna sidang Parlimen boleh digantung.
“Jadi, (kami) hanya menunggu keputusan Perdana Menteri.
“Kalau kami tahu dalam kaedah Perlembagaan dan institusi negara kita, bahawa apabila Yang di-Pertuan Agong memberikan pandangan begitu, bermakna ia memberikan gambaran yang jelas bahawa pandangan kerajaan itu tidak tepat untuk menggantung Parlimen,” katanya.
Sumber Facebook anwaribrahim.keadilan
Beliau berkata demikian menerusi satu entri di laman Facebook rasminya selepas mengadakan mesyuarat bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata mesyuarat juga membuat keputusan untuk terus membantah pengisytiharaan darurat kerana tiada asas yang munasabah, terutamanya penggantungan Parlimen.
Beliau menyifatkan penggantungan Parlimen menjadikan Malaysia seolah-olah sama dengan Myanmar.
“Jadi apabila perdana Menteri menegur Myanmar, sepatutnya Myanmar juga boleh tegur perdana Menteri kerana tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk menggantung Parlimen,” katanya lagi.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong menerusi satu kenyataan Istana Negara berpandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
#Anwar Ibrahim #penggantungan parlimen #darurat #Yang di-Pertuan Agong #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #pembangkang #Perdana Menteri #Parlimen #Myanmar
;