Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini menegaskan bahawa penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilakukan mengikut prosedur.

Mengulas kenyataan Muhyiddin hari ini yang membantah keputusan majlis itu Jumaat lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai hak untuk membantah.

"Majlis itu telah mengikuti semua prosedur dalam penggantungannya kerana beliau tidak dapat menjalankan tugas untuk membantu presiden memimpin parti," katanya kepada Astro AWANI.

"Beliau telah gagal dalam tugasnya," katanya.

Salleh juga menyambut baik keputusan Muhyiddin untuk kekal dalam UMNO dan bukannya mengikut langkah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada Isnin mengumumkan keputusannya meninggalkan UMNO.

BACA: Saya terus kekal dalam UMNO, tidak terbabit konspirasi jatuhkan Najib - Muhyiddin

BACA: Tun Mahathir dan isteri umum keluar UMNO


Salleh berkata sebagai anggota parti, Muhyiddin mempunyai hak untuk bersuara dan memberi pendapat tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan cara yang boleh memusnahkan parti.

"Menggulingkan presiden parti adalah seperti memusnahkan parti," katanya.

Pada Jumaat, Ahli Majlis Tertinggi UMNO sepakat menggantung Muhyiddin daripada kedudukannya sebagai orang nombor dua parti.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemudian dilantik memangku jawatan Muhyiddin sehingga pemilihan parti akan datang pada 2018.

BACA: Jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO digantung serta-merta