Penggantungan jawatan Muhyiddin: Sukar jalan tugas jika nombor satu dan dua tak sehaluan - Mustapa

Astro Awani
Februari 27, 2016 13:32 MYT
Tindakan itu juga disifatkan Mustapa sebagai satu tindakan untuk memantapkan parti - Foto Fail
Penggantungan jawatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah refleksi kehendak semua perwakilan seperti yang disuarakan dalam Perhimpunan Agung parti itu tahun lalu yang mahukan dua pemimpin tertinggi parti bekerjasama.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed, keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi pada Jumaat adalah sesuatu yang paling sukar dilakukan tetapi perlu bagi mengukuhkan parti.
“Jika nombor satu (Presiden) dan nombor dua (Timbalan Presiden) tidak sehaluan memang sukar hendak menjalankan tugas bagi menghadapi pilihan raya.
“Apa yang berlaku malam tadi (Jumaat) adalah perbincangan begitu mendalam dan kita telah melalui proses yang cukup teliti,” kata Mustapa yang ditemui selepas majlis Pelancaran Himsak Pra U di sini hari ini.
Katanya lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir dan tidak terlibat dalam perbincangan tersebut.
Tindakan itu juga disifatkan Mustapa sebagai satu tindakan untuk memantapkan parti dan mendapatkan kepimpinan yang kuat bagi meneruskan agenda rakyat.
“Keadaan sudah berubah dan tidak ada siapa boleh pertikai termasuk di Pengkalan Kubor.
“Kita bercakap mengenai masa depan Pilihan Raya Umum ke-14 dan kita memerlukan kepimpinan yang kuat bagi meneruskan mandat kita yang berbaki dua tahun setengah.
“Jadi, tindakan ini perlu dilakukan kerana sekiranya ada gangguan sukar untuk kita membina kekuatan parti dan nak memajukan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut mengakui jasa dan peranan yang disumbangkan Muhyiddin seperti yang diluahkan bekas Timbalan Presiden UMNO itu dalam status terkini Facebooknya.
#majlis tertinggi #Muhyiddin Yassin #Mustapa Mohamed #UMNO
;