Penggabungan PDP-PSB ikut undang-undang - Tiong
Bernama
Februari 12, 2024 20:42 MYT
Februari 12, 2024 20:42 MYT
SIBU: Parti Demokratik Progressif (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) berharap proses penggabungan kedua-dua parti tersebut, akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing yang ditanya mengenai perkembangan penggabungan tersebut berkata perkara itu, sedang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang yang ada.
Tiong turut menegaskan penggabungan itu juga tidak akan menyebabkan pilihan raya kecil (PRK) di Sarawak.
"Mana ada cetus (PRK), tidak ada. Kita buat memang tidak akan menyebabkan pilihan raya kecil. Kita mesti buat mengikut undang-undang yang ada," katanya yang Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong ketika kunjungannya ke kediaman Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini.
Diminta memperincikan proses penggabungan itu, Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan Ahli Parlimen Bintulu berkata "jangan huru-hara dulu, selesai baru boleh beritahu. Macam sudah kahwin, baru kita boleh beritahu orang."
PDP merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah Sarawak. Parti lain komponen GPS ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Pada 13 Julai tahun lepas, PSB yang merupakan parti pembangkang dan memenangi tiga kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 pada 2021, mengumumkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Abang Johari Tun Openg.
-- BERNAMA
#gabungan
#Parti Demokratik Progresif
#pdp
#Parti Sarawak Bersatu
#PSB
#politik
#Sarawak
#Tiong King Sing