Pengesahan bubar atau tidak DUN di negeri dikuasai Pas pagi esok

Astro Awani
Oktober 10, 2022 23:53 MYT
Ahmad Samsuri berkata, Pas telah berulang kali menegaskan tentang ketidaksesuaian PRU15 diadakan ketika negara bakal menghadapi suasana banjir termasuk di Pantai Timur dan kawasan lain. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri dikuasai Pas, akan disahkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas pagi esok.
Perkara itu dinyatakan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam kenyataan di laman Facebook beliau malam ini.
"Apapun, sebarang keputusan pembubaran, akan disahkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas awal pagi esok," katanya yang juga Menteri Besar Terengganu.
Pada Sabtu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilapor berkata, Pas memutuskan tiga negeri dikuasainya iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu, tidak akan membubarkan DUN dalam masa terdekat.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.
Hari ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, turut memaklumkan Kedah kekal dengan pendirian tidak membubarkan DUN sebelum Mac tahun hadapan, meskipun Parlimen telah dibubarkan hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, sebarang perubahan akan diputuskan parti di peringkat Pusat.
Sementara itu, dalam kenyataan sama malam ini, Ahmad Samsuri berkata, Pas telah berulang kali menegaskan tentang ketidaksesuaian PRU15 diadakan ketika negara bakal menghadapi suasana banjir termasuk di Pantai Timur dan kawasan lain.
"Rakyat boleh membuat berbagai-bagai andaian tentang tujuan dan kehendak pembubaran (Parlimen) yang dipaksakan ini walaupun tinjauan awam menunjukkan lebih 2/3 rakyat tidak bersetuju untuk PRU15 diadakan pada ketika ini.
"Memaksakan pilihan raya diadakan pada saat rakyat menghadapi kesusahan ini adalah sangat tidak sesuai dan memberikan indikasi bahawa parti yang mendesak adalah hanya memikirkan diri individu mereka sahaja.
"Justeru itu, mereka yang menekan sehingga keputusan pembubaran ini dibuat merupakan liabiti pada negara dan wajar ditolak dalam PRU yang akan datang," katanya.
#bubar parlimen #PRU15 #bubar DUN #negeri dikuasai Pas
;