Pengeluaran KWSP: Anwar jawab dakwaan raih undi untuk menang PRN Johor

Hasimi Muhamad
Mac 10, 2022 13:07 MYT
Jelas Anwar pendiriannya tidak pernah berubah, bahawa kerajaan sepatutnya menanggung kerugian yang dialami oleh mereka yang terjejas akibat banjir. - Foto Astro AWANI
PARIT SULONG: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak dakwaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bahawa keputusan menyokong pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebagai ‘meraih undi’ untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, parti itu mungkin tidak membaca secara menyeluruh konteks berhubung desakan pengeluaran KWSP.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Justeru, jelas Anwar pendiriannya tidak pernah berubah, bahawa kerajaan sepatutnya menanggung kerugian yang dialami oleh mereka yang terjejas akibat banjir.
“Itu prinsip dia (kerajaan bantu). Kalau begitu jangan suruh orang ambil simpanan kerana esok lima atau enam tahun dia pencen, dia tiada wang. Jadi itu desakan saya.
“Jadi nak kata berubah (pendirian) tidak ada. Kita tidak setuju peringkat ini untuk meminta pencarum mengeluarkan wang yang sedikit baki dengan syarat kerajaan membantu ganti rugi, rumah yang rosak, kenderaan dan sebagainya.
“Kalau kerajaan ganti, tak perlu pencarum mengambil wang tersebut,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri ceramah kelompok di Kampung Tambak, di sini.
Hadir sama calon PKR, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arulchelvan berkata, kenyataan Anwar dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung pengeluaran KWSP menunjukkan ahli politik sanggup melakukan apa sahaja bagi memenangi pilihan raya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pilihan yang ada ketika ini adalah mengeluarkan KWSP selepas kerajaan didakwa masih belum berjaya mengatasi kesusahan yang dialami rakyat.
“Soalnya sekarang selepas berbulan berlalu, dah datang banjir kedua, kerajaan ini baru duk fikir dan kaji.
“Orang dah susah dan dalam keadaan sekarang saya kata kalau kamu tak bagi bantuan kepada rakyat, kamu kena benar lah dia cari wang itu.
“Jadi kalau orang tak setuju, nak buat apa sekarang, nak tunggu?” tegas Anwar lagi.
Sementara itu mengenai kempen yang berbaki kurang 48 jam pula, Anwar berkara jentera-jentera parti diingatkan untuk melipat gandakan usaha termasuk memasuki kawasan-kawasan ‘kubu kuat’ UMNO.
“Kita kerja sedaya upaya dan tambah ikhtiar kita dan macam di sini (DUN Semerah), masuk yang dulunya kubu-kubu UMNO dan sebagainya.
“Kita bincang dengan baik dan bagi penerangan. InsyaAllah keadaan akan berubah,” ujarnya.
#Anwar Ibrahim #PRN Johor #KWSP #PSM
;