Pengasingan kuasa akan kembali jika Pakatan memerintah - Tun M

Hafiz Marzukhi
Disember 30, 2017 04:33 MYT
MAHATHIR: Ketiga-tiga pihak ini - legislatif, eksekutif, kehakiman - tidak boleh campur tangan dalam urusan masing-masing. -Astro AWANI / HAFIZ MARZUKHI
Pengasingan kuasa antara penggubal undang-undang (legislatif), pelaksana undang-undang (eksekutif) dan kehakiman akan dikembalikan jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ini janji Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan tiada pihak wajar dibiarkan menguasai kesemua cabang-cabang institusi pemerintahan negara ini.
"Perdana Menteri tidak boleh kuasai (kedua-dua) pentadbiran dan kehakiman.
"Ketiga-tiga pihak ini tidak boleh campur tangan dalam urusan masing-masing," kata Dr Mahathir dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung PPBM yang pertama di Pusat Konvensyen Ideal di sini, hari ini.
Selain itu, bekas perdana menteri itu turut mencadangkan supaya pelantikan pegawai-pegawai tinggi tertentu perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
"Ini untuk memastikan kelayakan mereka sebelum dikemukakan kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk dilantik.
"Jawatankuasa pemilih akan dianggotai wakil Kerajaan dan parti lawan," kata beliau yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan.
#Mahathir Mohamad #pengasingan kuasa #PPBM