Pengarah pilihan raya Amanah Selangor letak jawatan

Sinar Harian
April 19, 2018 10:06 MYT
JAAFAR: Saya merasakan adanya saya dalam parti tidak lagi mendatangkan kebaikan untuk parti. - Foto Sinar Harian
Pengarah Biro Pilihan Raya Amanah Selangor, Jaafar Samsuddin, meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Laporan media tempatan memaklumkan, peletakan jawatan Jaafar itu atas alasan beliau perlu menumpukan kepada hal keluarganya.
Beliau juga dilaporkan berkata, beliau tidak rasa suaranya didengar dan berasa usahanya tidak dihargai oleh pemimpin Amanah pusat dan negeri.
“Saya merasakan adanya saya dalam parti tidak lagi mendatangkan kebaikan untuk parti. Suara saya tidak lagi didengari pimpinan.
“Saya mendengar banyak perkara yang menceritakan keburukan saya, seolah-olah apa yang saya lakukan tidak bagus.
“Saya berasa malu sebagai seorang yang memegang jawatan di negeri diperlakukan sedemikian,” katanya.
Jaafar menyertai Pas pada 1998 dan memegang jawatan pengarah pilihan raya Pas Selangor dari 2002 hingga 2015. Beliau kemudian meninggalkan Pas pada 2016 untuk menyertai Amanah.
Sebelum itu, Jaafar pernah menjadi ahli UMNO dan Semangat 46 serta pernah bekerja di bawah bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris.
#Amanah #Jaafar Samsuddin #keluarga #letak jawatan #parti #pilihan raya #Selangor
;