Penganalisis: PH perlu belajar daripada kekalahan di Cameron Highlands
Arfa Yunus
Februari 19, 2019 09:16 MYT
Februari 19, 2019 09:16 MYT
Memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu tidak bermakna Pakatan Harapan (PH) mampu menyapu bersih kesemua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan selepas itu.
Realiti ini dapat dilihat sewaktu PRK Cameron Highlands dimana calon PH kalah sekali lagi di tangan Barisan Nasional (BN) sedangkan PH yang mencetuskan PRK itu dengan memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Datuk C Sivarraajh.
Penganalisis politik Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata sudah tiba masa PH belajar daripada kesilapannya – salah satunya adalah dengan mempersiapkan calonnya di Semenyih, Muhammad Aiman Zainali agar lebih mesra apabila bertemu pengundi.
“Ahli politik yang berpengalaman luas faham bahawa tindakan kecil seperti bersalaman dengan orang ramai adalah penting dan ini salah satu kelemahan calon PH yang perlu diperbaiki segera.
“Orang kampung yang hadir ke ceramah ingin berjumpa calon. Sekiranya calon tidak sanggup berjalan 40 ke 50 meter untuk bersalaman, pasti pengundi akan terfikir ‘bagaimana pula selepas dah menang nanti?” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Azman berkata demikian susulan pemerhatian beberapa pihak menerusi media sosial tentang cara calon PH dan Barisan Nasional (BN) berinteraksi dengan pengundi.
Tambah Azman, amat penting bagi Aiman menambat hati pengundi sewaktu bersua muka kerana ini dapat memastikan undi yang diperolehi pada 2 Mac nanti datang daripada pengunjung ceramah PH sendiri.
Mengenai ini, Azman berkata calon BN Zakaria Hanafi berkemungkinan mempunyai kelebihan disebabkan pengalaman luasnya di dalam politik dimana beliau dilihat lebih selesa bertemu dan meluangkan masa bersama penduduk setempat.
“Selain itu PH juga perlu turun ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang bukan kubu kuat mereka kerana ketika ini, amat penting bagi PH mencari jalan untuk menarik pengundi atas pagar,” katanya.
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang merupakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Hulu Langat, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.
PRK yang akan diadakan pada 2 Mac nanti akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Aiman, Zakaria, calon Parti Sosialis Malaysia Nik Aziz Afiq Abdul serta seorang calon BEBAS Kuan Chee Heng.
#Barisan Nasional
#Cameron Highlands
#Dr Awang Azman Awang Pawi
#Kuan Chee Heng
#Muhammad Aiman Zainali
#Nik Aziz Afiq Abdul
#Pakatan Harapan
#PRK Semenyih
#semenyih memilih
#Zakaria Hanafi