Pengampunan Najib: Ujian hubungan PH-BN
Sinar Harian
April 28, 2023 07:45 MYT
April 28, 2023 07:45 MYT
ISU pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mencuri tumpuan masyarakat.
Parti Amanah Negara (Amanah) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya rayuan pengampunan terhadapnya ditolak.
Menurut Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, pengampunan untuk Najib membawa satu gambaran tidak baik kepada rakyat berhubung sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung nilai integriti.
Jelasnya, perkara itu secara tidak langsung akan menghancurkan gagasan Malaysia Madani yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara tersebut bagaimanapun mengundang sedikit respons kurang senang daripada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau menyatakan bahawa mana-mana parti politik segagasan tidak seharusnya berbuat demikian.
Jelas beliau, kuasa pengampunan merupakan hak mutlak Seri Paduka Baginda yang tidak seharusnya dibicarakan berlebihan.
Justeru, mana-mana pihak adalah tidak dialu-alukan memberikan komen atau pandangan tidak sepatutnya berhubung perkara itu.
Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO bersama gabungannya Barisan Nasional (BN) bersetuju menubuhkan gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) setelah tiada majoriti dicapai semasa pertarungan tersebut.
Perkara tersebut sedikit sebanyak menimbulkan persoalan, sejauh mana kerjasama itu mampu bertahan memandangkan ideologi dan pemikiran yang dibawa kedua-dua pihak kebanyakannya tidak selari.
Bagaimanapun, khilaf yang berlaku itu dilihat didiamkan bagi memberi ruang untuk menyelesaikan pelbagai kemelut yang berlaku di peringkat nasional ketika itu.
Akan tetapi, dengan kenyataan Amanah yang menyentuh isu pengampunan Najib pastinya dilihat mampu menghidupkan sedikit api ketegangan yang pernah terpadam buat seketika waktu.
Apa yang menjadi persoalan kini adalah adakah isu pengampunan bekas Ahli Parlimen Pekan itu mampu memutuskan ikatan mesra yang telah terjalin antara kedua gabungan tersebut?
Sekiranya tidak, adakah ia mampu menjadi gasakan kuat yang boleh mematikan kekuatan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang? Semuanya bakal terjawab pada masa yang seterusnya. - Sinar Harian