Pengampunan Najib: Semua pihak diminta bertenang - Anthony Loke
Sinar Harian
Februari 3, 2024 16:08 MYT
Februari 3, 2024 16:08 MYT
SEREMBAN: Semua pihak diharap dapat bertenang menghadapi keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan Lembaga Pengampunan mengenai perkara itu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
"Pihak DAP memang sedar bahawa ramai penyokong Pakatan Harapan(PH) yang kecewa dengan keputusan itu.
"Namun keputusan Lembaga Pengampunan adalah satu keputusan muktamad dan ia adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, pihak Jemaah Menteri juga tidak terlibat dalam keputusan itu dibuat. Jadi kita harap semua pihak bertenang untuk hadapi keputusan ini," katanya kepada pemberita ditemui di Pasar Besar Seremban di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, undang-undang negara memberi ruang kepada mana-mana banduan untuk memohon pengampunan atas hukuman yang dihadapi mereka.
Bagaimanapun ujarnya, hukuman terhadap Najib tidak dibatalkan, tetapi jumlah hukumannya saja dikurangkan malah masih mempunyai kes-kes mahkamah lain yang sedang berjalan.
"Hukuman terhadap Najib tidak dibatalkan. Ia bermaksud keputusan oleh mahkamah yang mendapati beliau bersalah dalam kes SRC( penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd), tetap diangkat. Cuma jumlah hukuman itu dikurangkan.
"Sebab apa ia dikurangkan, sudah tentu Lembaga pengampunan ambil kira pelbagai pertimbangan yang kita pun tidak tahu kerana perbincangan dilakukan adalah satu sidang tertutup,"katanya.
Dalam pada itu, kata Anthony, keputusan Lembaga Pengampunan itu tidak akan menjejaskan hubungan DAP dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau juga menggesa semua pihak untuk terus bekerja dengan lebih gigih bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan hari ini terus terpelihara, sekali gus memastikan tidak berlaku ketidakstabilan politik dalam negara.
Ditanya sama ada ia akan memberi kesan kepada peluang gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang, ujarnya, seseorang tidak boleh tahu apa yang akan berlaku dalam beberapa tahun akan datang.
"Buat masa ini, keputusan (Lembaga Pengampunan) adalah muktamad dan ia bukan sesuatu yang anda boleh cabar di mahkamah," katanya. - Sinar Harian