Pengampunan Najib: 'Saya bertaubat, harap Pemuda UMNO ampunkan saya' - Tony Pua
Sinar Harian
Februari 4, 2024 18:43 MYT
Februari 4, 2024 18:43 MYT
SHAH ALAM: Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menyindir tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu membuat laporan polis susulan dakwaannya mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Bekas Ahli Parlimen Damansara itu juga secara sinis mengakui telah 'bertaubat' atas ketelanjuran yang dilakukan.
"Oh, Ketua Pemuda UMNO (Muhamad Akmal) mahu buat laporan polis terhadap Pua yang 'biadab'.
"Saya ingat perbuatan laporan polis terhadap saya sudah tiada dan isteri saya kecewa. Jadi lebih baik saya bertaubat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Sebelum ini Dr Muhamad Akmal menegaskan Pemuda UMNO akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi menggesa siasatan terhadap Tony yang didakwa biadab ekoran mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Meneruskan sindiran berkenaan, Tony menyebut dirinya turut teruja dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang memberi 50 peratus pengurangan tempoh hukuman penjara dan denda kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya turut berbesar hati mendengar bahawa untuk penahanan tambahan selama setahun atas perkenan baginda (Yang di-Pertuan Agong), kamu akan dapat jimat sebanyak RM50 juta.
"Saya pasti kamu akan bersusah payah menggunakan semua simpanan yang ada untuk membantu anak yatim dan fakir miskin seperti yang dilakukan sebelum ini.
"Saya juga faham bahawa jika kamu berkelakuan baik, akan mendapat diskaun lebih besar. Kami boleh lihat kamu berkempen untuk UMNO pada pilihan raya umum (PRU) 2027," sindirnya.
Dalam pada itu Tony secara sinis juga berkata, beliay tidak bimbang dengan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Presiden UMNO itu susulan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga memperoleh keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah.
Justeru Tony berharap dengan catatan penyesalan itu beliau akan 'diampunkan' Pemuda UMNO dan terhindar dari perjalanan ke Bukit Aman untuk disiasat.
"Saya pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai beberapa perkara yang lebih baik untuk dilakukan," katanya. - Sinar Harian