Keputusan bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mengambil alih sebuah parti yang diasaskan di Sabah, dilihat oleh penganalisis politik sebagai laluan pintas yang menyediakan platform politik untuk beliau bertanding pilihan raya umum akan datang.
Walaupun masih awal untuk mengetahui kesan daripada langkah beliau itu, penganalisis bagaimanapun percaya bahawa bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu tidak mungkin memberi kesan terhadap senario politik Sabah, mahupun menyebabkan sebarang perubahan besar dalam sokongan rakyat terhadap UMNO.
Khamis lepas, Shafie pergi ke pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Putrajaya untuk memutuskan sebarang perubahan kepada nama parti, logo dan pelbagai butiran lain.
Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong, dan bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Anggota Parlimen Penampang Darell Leiking.
Shafie, yang mengambil alih sebuah parti yang ditubuhkan di Sabah pada 2013, memberitahu pemberita bahawa nama dan lain-lain butiran baharu parti itu hanya akan diumumkan selepas RoS meluluskannya.
PARTI ASAL SABAH
Penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata adalah jelas bahawa Mohd Shafie cuba untuk menjimatkan masa dan tenaga dengan mengambil alih parti sedia ada kerana urusan untuk mendaftarkan parti baru akan memakan masa.
"Dengan khabar angin yang tersebar bahawa pilihan raya akan diadakan lebih awal, mengambil alih (sebuah parti yang tidak aktif) adalah satu langkah bijak. Dia (Shafie) kini perlu mempunyai strategi (untuk memastikan kejayaan parti)," kata Jeniri, yang berkhidmat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Tanpa sokongan kuat daripada peringkat akar umbi dan senarai calon-calon yang boleh dipercayai, agak sukar bagi parti itu untuk memenangi sokongan rakyat, katanya.
Selain itu, cabaran paling besar bagi Shafie adalah untuk menyatukan semua parti pembangkang di negeri itu di bawah satu pakatan.
"Dia tahu bahawa satu-satunya cara untuk dia (kekal dalam politik) adalah dengan memberi tumpuan kepada Sabah dan bukannya menebarkan sayapnya ke Semenanjung. Inilah hakikat praktikalnya. Saya tidak memandang rendah terhadap Datuk Seri Shafie tetapi pengaruhnya adalah terhad kepada kumpulan tertentu," kata Jeniri.
Seorang lagi penganalisis politik, Dr Suffian Mansor berkata keputusan Shafie untuk mengambil alih sebuah parti yang diasaskan di Sabah mungkin berpunca daripada fakta bahawa kebanyakan ahli-ahli politik Sabah dan Sarawak tidak mahu dikaitkan dengan parti-parti dari Semenanjung.
"Adalah bijak bagi beliau untuk tidak menyertai PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Dia perlu mendapat sokongan akar umbi masyarakat tempatan. Seperti yang anda tahu, rakyat di Sabah dan Sarawak lebih suka menyokong parti tempatan. Jika dia bergabung dengan PPBM, pasti ramai yang akan akan menyoalnya tentang bagaimana dia akan berjuang untuk membela hak-hak Sabah," katanya.
Suffian, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata Shafie mungkin telah mengkaji pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini dan menyedari bagaimana sentimen tempatan memberi kesan terhadap keputusannya dan membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar.
(Pada pilihan raya Sarawak 7 Mei lepas, BN memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.)
"Pertama, dia perlu menambat hati dan minda pengundi Sabah tetapi saya rasa akhirnya partinya akan bergabung dengan PPBM.
"Tetapi kini, masalah yang paling besar adalah bagaimana parti itu akan bekerjasama dengan PKR di Sabah. DAP tidak menjadi masalah kerana mereka lebih cenderung untuk bertanding di kawasan majoriti Cina; PKR, di sisi lain, akan memilih untuk kerusi campuran dan juga majoriti Islam," kata Suffian.
MUNGKIN BEKERJASAMA DENGAN USNO BARU
Pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial UNIMAS Dr Arnold Puyok percaya bahawa Shafie berkemungkinan "menyekutukan dirinya" dengan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu atau USNO Baru, yang ditubuhkan pada 2013.
"Bagaimanapun, saya kira pengundi Islam berkemungkinan besar akan menyokong CM (Ketua Menteri) Musa Aman dan pemimpin-pemimpin Bajau lain seperti Datuk Seri Salleh Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia)," katanya.
Profesor Madya di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya (UM) Dr Awang Azman Awang Pawi berkata penyertaan parti yang diterajui Shafie dalam politik Sabah boleh menjejaskan PKR lebih daripada BN atau parti-parti pembangkang lain seperti DAP.
"Kesan awal terhadap PKR berlaku selepas Darell keluar parti (untuk menyertai Shafie). Di Sabah, adalah perkara biasa untuk ahli-ahli politik melompat dari satu parti kepada yang lain. Sekarang kesemua mata tertumpu kepada (Ketua PKR Sabah) Datuk Seri Lajim Ukin... pastinya menarik untuk melihat apakah langkah beliau seterusnya. Adakah beliau akan menyertai parti Shafie?"
Awang Azman berkata politik Sabah sangat bersifat kenegerian dan pembentukan satu lagi parti pembangkang akan menolak PKR, yang merupakan parti nasional, terpinggir ke satu sudut.
Lajim, yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, meninggalkan UMNO pada 2012 untuk menyertai PKR. Beliau kini merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah.
PRAMATANG
Pengarah Pusat Penyelidikan Strategik dan Keselamatan Universiti Malaysia Sabah, Dr Zaini Othman pula berpendapat bahawa adalah terlalu awal untuk meramalkan kesan langkah terbaru Shafie.
"Ia adalah jelas bahawa dia mahu menjadikan kehadirannya dirasai di Sabah selepas meninggalkan UMNO. Orang ramai telah menjangkakannya tetapi bagi saya, ia masih terlalu awal untuk menganalisis kesan politiknya ke atas Sabah dan pada peringkat kebangsaan," katanya. - BERNAMA
Bernama
Mon Sep 26 2016

Shafie, yang mengambil alih sebuah parti yang ditubuhkan di Sabah pada 2013, memberitahu pemberita bahawa nama dan lain-lain butiran baharu parti itu hanya akan diumumkan selepas RoS meluluskannya. - Gambar fail
Food For Gelandangan komited turun ke lapangan setiap Jumaat
Dalam umat Islam berlumba-lumba mencari keberkatan dalam bulan Ramadhan, jangan dilupa golongan yang kurang bernasib baik miskin bandar dan gelandangan. Wartawan Firdaus Azil turun ke lapangan menyertai program anjuran Food for Gelandangan di ibu kota, untuk menyantuni golongan tersebut.
Perayaan Holi menghidupkan India
Di Bandar Ahmedabad, India suasana di Kuil Swaminarayan pula cukup meriah apabila ribuan pengunjung yang hadir disembur dengan pancutan air berwarna sambal menari mengikut irama muzik tradisional gujarat yang rancak.
Populasi warga emas Turkiye melebihi 96 negara
Menurut angka institut Statistik Turki (TurkStat), jumlah penduduk Turki pada 2023 ialah 85.6 juta orang dengan 10.6 peratus daripadanya diklasifikasikan sebagai warga emas.
Enjin pesawat terbakar, penumpang 'loloskan' diri guna gelongsor
Seramai 172 penumpang dan enam anak kapal berjaya dipindah menggunakan gelongsor kecemasan selepas enjin milik pesawat Boeing 737-800 milik American Airlines terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver pada Khamis waktu tempatan.
Perancangan penyaluran air Sungai Perak pada peringkat akhir - PM
Projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya dilaksanakan bagi menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), kini di peringkat akhir perancangan.
Hakim PBB dituduh memperhambakan pekerja sendiri
Mugambe, 49 tahun yang dilantik pada 2023 sebagai Hakim mekanisma Residual Antarabangsa untuk Tribunal Jenayah PBB, didakwa menggunakan statusnya dengan cara yang keji.
Petronas enggan ulas kemungkinan tarik diri dari Argentina
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tidak menafikan mahupun mengesahkan laporan bahawa ia sedang membuat penilaian untuk menjual aset minyak syal di Argentina.
Lelaki dihukum gantung pada hari jadi kerana bunuh isteri, bayi
Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang bekas pemandu lori atas kesalahan membunuh isteri dan bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan, sembilan tahun lalu.
7 individu ditahan sindiket sasar rakyat Hong Kong
Polis menahan tujuh individu termasuk dua wanita yang bertindak sebagai operator pusat panggilan dalam sindiket penawaran kerja sambilan yang menyasarkan rakyat Hong Kong.
Bau busuk bawa kepada penemuan mayat warga emas
Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Kampung baru Puchong, selangor sejak beberapa hari lalu akhirnya terjwab dengan penemuan mayat seorang lelaki warga emas.

Keadaan akan terkawal walau apa juga keputusan PRN Sabah - Jaujan Sambakong
Naib Presiden Warisan itu berkata proses mengundi dan selepas mengundi dalam keadaan terkawal dan harmoni.

Lucut jawatan pemimpin kampung yang salah guna kuasa
Pemimpin akar umbi yang dilantik perlu tahu peranan dan tanggungjawab terhadap kampung masing-masing.