Pengalaman mengajar dibawa untuk berkhidmat kepada rakyat - Prakash
Astro Awani
Mei 2, 2018 05:44 MYT
Mei 2, 2018 05:44 MYT
Tidak ramai mengetahui bahawa calon Barisan Nasional (BN) P107 Parlimen Sungai Buloh A. Prakash Rao merupakan bekas seorang guru Bahasa Melayu yang pernah berkhidmat selama 18 tahun di beberapa buah sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Oleh kerana itu, beliau mendapat gelaran Cikgu Prakash setiap kali turun padang ke Parlimen Sungai Buloh yang asalnya dikenali sebagai Parlimen Subang.
Cikgu Prakash, 58 tahun, juga pernah menjadi pensyarah Institut Perguruan Bahasa Melayu di Kuala Lumpur sekali gus memberikan kelebihan dan kepetahan untuk berkomunikasi dengan baik bersama pelbagai lapisan masyarakat.
"Saya tidak sangka akan mendapat peluang kedua dan beranggapan karier politik saya sudah tamat selepas kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dulu di Parlimen Subang.
"Saya rasa ini berkat kepercayaan parti MIC dan BN yang melihat usaha saya turun padang siang dan malam.
"Bahkan ada orang mati pun mereka cari saya untuk uruskan kerana wakil rakyat mereka 'hilang' sejak 10 tahun,” katanya yang juga bekas Setiausaha Agung MIC itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada PRU13 lepas, Prakash mendapat 39,549 undi, tewas kepada R.Sivarasa dari PKR yang mendapat 66,268 undi.
Jelas Prakash, ketika PRU13, beliau adalah calon payung terjun dan cuma datang kawasan tersebut tiga bulan sebelum PRU.
"Saya tidak sempat berkenalan dengan masyarakat dan juga jentera, namun PRU14 kali ini saya lebih bersedia untuk 'berperang'.
"Saya acapkali bertemu pengundi sejak tiga tahun lepas, kebanyakan mereka inginkan infrarakyat baharu termasuk kemudahan sukan, penambahbaikan jalanraya dan rumah mampu milik untuk didiami.
“Pengundi sedar, mereka tidak sanggup lagi ditipu. Malah kali ini, pengundi Cina sanggup bagi kekuatan dan sokongan kepada BN. Mereka nampak yang buat kerja BN. Malah jentera kita juga sudah sedia," jelasnya.
#Barisan Nasional
#Cikgu Prakash
#MalaysiaMemilih
#MIC
#Parlimen Sungai Buloh
#PKR
#Prakash Rao
#PRU13
#PRU14