Pengajaran buat PAS kerana bekerjasama dengan Anwar, kata Tun M

Bernama
September 21, 2014 20:10 MYT
TUN M: Kemelut antara golongan ulama dan profesional yang melanda PAS harus diambil pengajaran kerana ia hasil kerjasama dengan Anwar. -Gambar fail
Kemelut antara golongan ulama dan profesional yang melanda PAS harus diambil pengajaran oleh parti itu kerana ia hasil kerjasama mereka dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ini (masalah) adalah hasil kerjasama dengan Datuk Seri Anwar, sesiapa yang bekerjasama dengan dia akan hadapi masalah kerana dia suka memecahbelahkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian ketika mengulas pergolakan yang berlaku dalam parti kedua terbesar orang Melayu itu yang jelas kelihatan pada Muktamar PAS ke-60 di Johor baru-baru ini.
"Penyokong-penyokong dia pun dia pecah belah...dia punya sejarah memang seperti itu. Dia masuk Umno dia bawa masalah, dia buat Pakatan dia buat masalah," katanya.
Katanya perkara itu sewajarnya menjadi pengajaran kepada PAS.
Terdahulu, Dr Mahathir menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kejohanan Rowing dan Perahu Panjang 'Head of Putrajaya 2014' di Kompleks Sukan Air di sini.
Acara yang diadakan selama dua hari itu yang bermula semalam menarik lebih 400 peserta daripada 24 kumpulan termasuk tiga kumpulan dari luar negara iaitu Thailand, Singapura dan Indonesia.
#Anwar #Muktamar #PAS #pengajaran #Tun M
;