Penduduk Rantau mahu hospital kerajaan, klinik kesihatan dan IPT
Sahlizah Mohamed
Mac 31, 2019 14:10 MYT
Mac 31, 2019 14:10 MYT
Biarpun rata-rata penduduk tempatan di Rantau selesa dengan pembangunan yang dibina di pekan kecil itu sejak sekian lama, masih ada lagi kemudahan asas yang terlepas dari pandangan.
Tinjauan Astro AWANI pada pagi Ahad di Pasar Pekan Rantau merungkai keluh kesah penduduk yang berharap agar didirikan hospital kerajaan, penambahan klinik kesihatan dan juga pusat pendidikan.
Permintaan hospital kerajaan dan penambahan klinik kesihatan disuarakan oleh penduduk warga emas.
Seorang peniaga, Pu Kong Po, 68, mahu sebuah hospital kerajaan dibangunkan di Rantau bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan terutama bagi penyakit serius seperti masalah jantung.
"Di Rantau sekarang tidak ada hospital kerajaan, klinik ada satu. Ia sesuai untuk rawatan sebagai pesakit luar.
"Kalau ada kecemasan, kami perlu ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban yang mengambi masa sekitar 40 minit dari sini.
"Lokasinya yang agak jauh boleh menyebabkan kelewatan untuk mendapatkan rawatan terutama bagi mereka yang ada penyakit serius," katanya ketika ditemui.
Tidak hanya setakat itu, penduduk turut berharap agar sebuah lagi klinik kesihatan didirikan bagi mengelakkan kesesakan dan waktu menunggu yang memakan masa berjam-jam.
Menurut N. Rani, 53, kini hanya terdapat sebuah klinik kesihatan di Rantau yang menjadi tumpuan penduduk berbanding klinik swasta yang memerlukan pesakit membayar kos ubat dan rawatan lebih tinggi.
"Kita pergi dari pagi dan kena tunggu sehingga pukul 2 petang. Pekerja pun tidak cukup. Doktor juga kurang.
"Sebuah klinik kesihatan tidak cukup. Saya bukan saja-saja cakap, boleh tanya semua orang berapa lama perlu menunggu.
"Kalau nak ke klinik swasta kosnya agak mahal. Untuk ambil darah sahaja caj yang dikenakan boleh mencecah sehingga RM20," katanya.
Dalam pada itu, suara generasi muda di Rantau juga perlu diambil kira seperti pembinaan pusat pengajian tinggi.
Norhidayah Muhd Nasir, 18, berkata dia mahukan pusat pengajian seperti kolej dan universiti di Rantau.
"Ia akan memudahkan anak-anak muda di Rantau jika ada kolej atau universiti berhampiran. Yang sedia ada terletak di Seremban dan ia agak jauh.
"Kolej atau universiti yang berdekatan juga merupakan bonus kerana berhampiran dengan kampung halaman," ujarnya.
Tidak pasti sama ada permintaan rakyat akan tertunai atau sebaliknya, namun menjelang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, penduduk meletakkan harapan agar suara mereka didengari oleh pucuk pimpinan pemerintah yang bakal mentadbir pekan kecil itu.
PRK Rantau menyaksikan pertembungan empat calon dalam merebut kerusi DUN Rantau iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional; Dr. S. Streram daripada Pakatan Harapan serta dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin dan R. Malarvizhi.