Penduduk Kapit di Sarawak tidak mahu tinggal macam di pulau

Tan Su Lin
Mei 5, 2016 13:10 MYT
Buat masa ini, bot ekspres adalah satu-satunya mod pengangkutan menghubungkan Kapit dengan dunia luar. - Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
Segerakan pembinaan jalan Kanowit-Kapit kerana penduduk Kapit tidak rela terus terpinggir dari arus pembangunan negara.
"Kami tidak lagi mahu menjadi sebuah pulau."
Itu antara suara penduduk di Kapit.
Dengan siapnya projek pembinaan jalan Kanowit-Kapit nanti, mereka berharap ia bakal membawa pembangunan yang amat dinanti-nantikan penduduk Kapit.
Buat masa ini, bot ekspres adalah satu-satunya mod pengangkutan menghubungkan Kapit dengan dunia luar.
Perjalanan dari Sibu ke Kapit mengambil masa kira-kira tiga jam menyelungsuri Batang Rejang.
Jalinan perhubungan menjadi harapan utama penduduk di Kapit yang rata-ratanya mahu pembinaan jalan ke Kapit disegerakan untuk kemudahan penduduk.
Menurut salah seorang penduduk, Alice Sigan, 32, selain menghubungkan penduduk, ia diharap dapat mengurangkan beban penduduk yang juga terpaksa menanggung kos harga barangan yang mahal disebabkan kos pengangkutan.
"Masalah pengangkutan, Kapit hanya boleh dihubungi dengan pengangkutan air sahaja. Pengangkutan air dari Sibu ke Kapit adalah menggunakan bot ekspres dan pengangkutan untuk membawa barang-barang keperluan asas juga menggunakan bot.
"Ini menyebabkan barangan keperluan asas di Kapit seperti beras, minyak masak, tepung dan keperluan makanan lain lebih mahal berbanding tempat-tempat lain," katanya.
Turut senada Mike Wong, 51, yang mahu jalan raya yang menghubungkan Kanowit ke Kapit disegerakan.
"Saya harap pada masa depan jalan ke Kapit ini cepat siap supaya dekat sikit untuk kami dari Kapit ke Sibu.
Harga barang di sini, kalau jalan sudah siap akan menjadi lebih murah kerana buat masa ini barangan dikirim melalui bot jadi kos lebih tinggi," katanya yang melakukan perniagaan menjual telefon bimbit di pekan Kapit.
Projek pembinaan jalan yang dijangka siap pertengahan tahun 2017 amat ditunggu-tunggu penduduk Kapit khususnya di kawasan pedalaman yang rata-ratanya merupakan petani kecil agar dapat memasarkan hasil tani mereka di luar Kapit seperti bandar Sibu, sekaligus meningkatkan tahap ekonomi penduduk.
Hasil tinjauan Astro AWANI di pasar tamu Kapit mendapati kebanyakan sayuran yang dijual adalah daripada kawasan pedalaman Kapit dan hampir setiap gerai menjual hasil tani yang hampir sama.
"Saya tidak dapat menjual hasil tanaman saya dengan harga yang tinggi sebab semua peniaga di sini menjual barangan yang hampir sama.
"Pelanggan akan mengadu mahal sebab peniaga lain mungkin jual dengan harga rendah. Jadi susah buat duit macam ini. Saya berharap jalan ke Kapit dapat cepat siap supaya saya dapat menjual sayur-sayuran saya di luar Kapit seperti Sibu dengan lebih mudah," kata salah seorang peniaga sayur di pasar tamu Kapit.
Namun bagi yang belum pernah ke Kapit pastinya terkejut melihat sebuah pekan yang sesak dengan kenderaan.
Tinjauan kami di sekitar pekan itu pada hujung minggu lalu mendapati kenderaan memenuhi jalan-jalan di sekitar kawasan tumpuan di pekan dan menyebabkan kesesakan jalan.
Sekitar Kapit Town Center juga penuh dengan orang ramai yang turun dari kawasan-kawasan kampung untuk berniaga di bazaar disediakan dan untuk membeli barangan keperluan.
Menurut Sendi Ingan, 36, berikutan keadaan begitu sesak di kawasan pekan, penduduk juga memerlukan mahu penambahbaikan infrastruktur di pekan yang lebih baik.
"Paling banyak masalah waktu keramaian macam ini, kita kekurangan tempat letak kereta dan sini Kapit Town Square kita memerlukan macam pondok untuk kita duduk sebab di sinilah pusat kita menunggu pengangkutan untuk pulang ke kampung, tunggu pengangkutan seperti van, kereta sewa dan sebagainya ke rumah-rumah panjang.
"Jadi kawasan ini sudah sesak dan tidak ada cukup tempat untuk kami menunggu terutamanya waktu keramaian macam ini," katanya yang turun ke pekan untuk membeli barangan persiapan sempena sambutan Hari Gawai awal bulan Jun nanti.

*Tan Su Lin adalah wartawan Astro AWANI yang kini dalam tugasan membuat liputan PRN Sarawak.
*Untuk kisah menarik seperti suara penduduk Kapit di atas dan liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com
#Kapit #pilihan raya Sarawak #PRN Sarawak #sarawak2016
;