Pendirian Sabah dan Mohd Shafie demi kepentingan rakyat, negeri - Dr Zaini

Assim Hassan
Mac 6, 2020 13:47 MYT
Langkah itu demi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah terus terbela. - Foto Astro AWANI.
Pendirian Kerajaan Sabah sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dilihat satu percaturan bijak walaupun memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Langkah itu kata Pensyarah Ilmu Politik dan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah, Dr Zaini Othman, adalah demi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah terus terbela.
"Tindakan Mohd Shafie menggunakan pendekatan tunggu dan lihat serta akhirnya membuat sidang media (semalam) dengan menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir cukup jelas dari segi poltik. Manakala hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Pusat-Negeri juga boleh diteruskan.
"Sememangnya kalau kita bercakap dari sudut Kerajaan, apa pun pembangunan untuk rakyat dan negeri ini perlu melangkaui parti politik," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Jumaat.
Tambah Dr Zaini lagi, mana-mana parti yang mendapat mandat serta membentuk kerajaan perlu bekerja sebagai kerajaan untuk rakyat Malaysia termasuk Sabah.
BACA: Tidak sokong, saya harap Muhyiddin faham - Shafie Apdal
Katanya, jika konsep kerajaan itu diangkat dengan betul tanpa mengira parti mana yang memerintah di peringkat negeri, peruntukan dan pembangunan juga harus berjalan seperti biasa.
"Kita boleh berbeza pendapat tetapi sebuah kerajaan itu perlu mengambil kira peranan untuk mentadbir dan mensejahterakan rakyat. Pentadbiran itu harus berpandukan kepada perlembagaan dan konsep federalisme.
"Sesebuah kerajaan bertanggungjawab kepada seluruh rakyat tanpa mengira apa juga parti mana yang rakyat sokong. Sebaik sahaja menjadi kerajaan, entiti itu akan dipantau... rakyat akan memerhati sama ada tanggungjawab kepada masyarakat itu dilaksanakan atau tidak," katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaini turut menambah, dalam konteks politik Malaysia, era Malaysia Baharu itu tidak boleh diterjemah memandangkan 'pelaku' atau pemimpin politik masih terikat dengan politik sebenar (real politik) berbanding politik ideal (ideal politik).
"Kerajaan Sabah akan mentadbir dengan baik jika Kerajaan Pusat juga faham konteks Persekutuan dan parti. Parti adalah simbol entiti yang bersaing untuk mendapatkan kuasa politik.
#Dr Zaini Othman #Kerajaan Sabah #Mohd Shafie Apdal #Pemerhati Politik Sabah #Pendirian Sabah #rakyat #Sabah #Shafie Apdal #Sokongan Tun M
;