Pendekatan kafir mengkafir bukan pendekatan Pas menjelang PRU-14

Astro Awani
Februari 15, 2018 17:04 MYT
Pemuda Pas juga menegaskan tidak akan bersama atau mengadakan pakatan pilihanraya bersama Pakatan Harapan.
Dewan Pemuda Pas Pusat, tidak berhasrat menggunakan pendekatan kempen kafir mengkafir ke atas lawan terutamanya kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang.
Menurut Naib Ketua Pemudanya, Ahmad Fadli Shaari, walaupun Pas melihat DAP khususnya serta Pakatan Harapan tidak meletakkan asas perjuangan membela Islam, ianya tidak dijadikan alasan untuk Pas menggunakan isu kafir mengkafir bagi menarik sokongan pengundi Islam dan Melayu.
"Kita ingin menyebut soal halal haram dan tergelincir akidah bukan fokus kami dalam kempen PRU kerana itu soal hukum yang ditentukan oleh mereka yang layak.
"Tetapi kita ingin mengajak pengundi memikirkan DAP yang anti Pas setiap perkara bagi memperkasa Islam.
"Saya rasa rakyat boleh fikir sendiri," jelasnya.
Pada masa yang sama Pemuda Pas juga senada dengan pendirian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamed Al Bakri yang menjelaskan melakukan undi rosak sebagai haram.
Katanya Pemuda Pas akan mengajak golongan pemilih muda supaya membuat penentuan secara bijak dan bukannya memboikot pilihan raya atau melakukan undi rosak seperti kempen undi rosak yang tular di media sosial baru baru ini.
Ahmad Fadli menjelaskan kempen pilihanraya Pemuda pada PRU kali ini lebih kepada soal kos sara hidup, miskin bandar, isu pekerjaan dan kediaman untuk anak muda.
Sementara itu Pemuda Pas juga menegaskan tidak akan bersama atau mengadakan pakatan pilihan raya bersama Pakatan Harapan.
Muktamar lalu memutuskan tiada kerjasama politik dengan Pakatan Harapan dan keputusan itu kekal sehingga kini.
Pemuda Pas juga akan menyarankan kepada kepimpinan supaya turut meletakkan calon di Pulau Pinang dan Selangor terutama kawasan kubu DAP pada PRU nanti.
#DAP #Islam #media sosial #Melayu #Pakatan Harapan #PAS #pemuda #pilihan raya #pilihan raya umum #politik #PRU
;