Pendaftaran lewat PH kerana PPBM dan DAP - Tun M

Wan Syamsul Amly
November 20, 2017 13:07 MYT
Tun Mahathir memberitahu pendaftaran lewat Pakatan Harapan (PH) disebabkan masalah yang timbul dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Tun Dr.Mahathir Mohamad memberitahu pendaftaran lewat Pakatan Harapan (PH) disebabkan masalah yang timbul dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP.
Presiden Pakatan Harapan itu memberitahu, masalah tersebut dimaklumkan kepadanya selepas pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Bagaimanapun, Mahathir turut melahirkan rasa kecewa kerana tidak dapat bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya sudah menetapkan temu janji sebelum ini.
"(Pendaftaran lewat) kerana ada masalah dengan PPBM dan DAP. Kalau masalah ini diberitahu awal ia boleh diselesaikan.
"Kami tidak berniat untuk membantah atau menimbulkan masalah kepada kerajaan, apa juga kehendak kerajaan, apa sahaja syarat kerajaan yang tidak melanggar undang-undang, akan kami patuhi," katanya semasa sidang media selepas perjumpaan dengan wakil KDN di sini hari ini.
PPBM berhadapan kemungkinan pendaftarannya dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana melakukan tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti iaitu tidak mengadakan mesyuarat tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.
Ketua Pengarah R)S Surayati Ibrahim sebelum ini dilaporkan sebagai berkata kenyataan jabatan itu berhubung istilah Armada dibuat berdasarkan rujukan perlembagaan PPBM sendiri yang hanya menunjukkan kewujudan istilah 'Pemuda' dan bukannya Armada.
Suriati berkata Armada adalah suatu yang tidak sah serta tidak diiktiraf ROS dan berisiko berdepan tindakan serius ke atas PPBM dan pucuk pimpinan parti termasuk pembatalan pendaftaran parti.
Sebelum ini, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan akan akur terhadap segala arahan ROS termasuk tidak menggunakan nama Armada untuk sayap pemuda parti itu.
Sehubungan itu Muhyiddin berkata sayap itu akan menggunakan nama Pemuda PPBM sehingga permohonan pindaan perlembagaan parti untuk menggunakan nama Armada diluluskan oleh ROS.
Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini dilaporkan berkata bersedia dengan kemungkinan pendaftaran PPBM dibatalkan menjelang PRU14.
Wan Azizah berkata perkara itu bukan perkara baharu bagi pembangkang kerana situasi sama pernah dilalui DAP menjelang PRU13 pada 2013.
#ARMADA #DAP #Jabatan Pendaftaran Pertubuhan #KDN #kerajaan #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #pembangkang #pemuda #pendaftaran #Perdana Menteri #PPBM #PRU14 #ros #undang-undang #Wan Azizah #Zahid Hamidi
;