Pendaftaran Bersatu: ROS akan bertindak secara profesional - TPM

Bernama
Ogos 9, 2016 19:39 MYT
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau tidak akan campur tangan dalam operasi penilaian pendaftaran permohonan parti baharu berkenaan. - Foto Bernama
Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan bertindak secara profesional dan mengikut peraturan sedia ada dalam meneliti permohonan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti baharu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau tidak akan campur tangan dalam operasi penilaian pendaftaran permohonan parti baharu berkenaan.
"Saya yakin pegawai ROS akan laksanakan tugas tanpa prejudis. Permohonan itu akan dikemuka kepada sebuah jawatankuasa yang akan lakukan ulasan untuk kelulusan Menteri Dalam Negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara ke-3 di sini hari ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan permohonan bagi mendaftar parti baharu itu di pejabat ROS di sini.
Ahmad Zahid berkata permohonan berkenaan akan diteliti mengikut butiran yang dikemukakan dan lazimnya tempoh paling cepat diluluskan adalah dalam masa sebulan atau 30 hari.
"Oleh itu jangan ada mana-mana individu yang mengenakan tekanan kepada ROS untuk menyegerakan kelulusan permohonan tersebut," katanya.
Ditanya mengenai masa depan parti baharu berkenaan dan kesannya terhadap UMNO, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata lazimnya dan berdasarkan sejarah, hayat parti serpihan tidak panjang.
Katanya UMNO telah mengalami empat saingan daripada parti serpihan UMNO iaitu Parti Kemerdekaan daripada pengasas UMNO sendiri pada 1951, Parti Kemerdekaan 1956, Parti Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat.
Beliau berkata parti serpihan biasanya tidak berasaskan ideologi atau falsafah politik.
"Lazimnya ia melibatkan dua elemen iaitu kekecewaan dan kemarahan atau memperjuangkan kepentingan sesuatu kelompok atau seseorang individu. Ini menyebabkan jangka hayat tidak panjang dan kepentingannya akan berlalu mengikut peredaran masa," katanya.
Tanpa mahu memperkecilkan usaha pihak lawan atau merendahkan mereka, Ahmad Zahid berharap anggota UMNO tetap utuh dan jangan pernah ambil mudah dengan saingan baharu yang muncul.
"Kami berharap agar barisan UMNO dari akar umbi hingga ke pusat memperkukuhkan barisan dalam menghadapi saingan sama ada yang sedia ada atau yang baharu," katanya.
#Ahmad Zahid Hamidi #Jabatan Pendaftar Pertubuhan #ros #Tan Sri Muhyiddin Yassin
;