Pencalonan PM adalah terjemahan PAU 2021 - Ahmad Zahid
Umavathi Ramayah
April 15, 2022 19:18 MYT
April 15, 2022 19:18 MYT
KUALA LUMPUR: Pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah penterjemahan kepada ketetapan yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid hamidi menjelaskan, perkara itu diputuskan oleh lima kepimpinan tertinggi UMNO sebelum dibawa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
"Mesyuarat (MKT) malam tadi adalah bagi kesinambungan kepada ketetapan PAU yang lalu.
"Dalam PAU, perwakilan telah menetapkan supaya soal-soal yang berkaitan dengan PRU15 yang mempunyai hubungan dengan soal-soal dan isu parti hendaklah dibincangkan oleh Top Five.
"Jadi perkara itu telah dibincangkan oleh Top Five sebelum dibawa ke MKT," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas prosiding pembelaan yang melibatkan 47 pertuduhan iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, ditanya mengenai isu pembubaran Parlimen, Ahmad Zahid memberitahu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memutuskan perkara itu.
Pun begitu, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, keputusan itu akan dibuat selepas konsultasi dengan lima pimpinan tertinggi UMNO dan Biro Politik untuk dianalisis bersama sebelum pembubaran dilakukan.
"Pembubaran itu bergantung kepada budi bicara dan analisis yang akan dilakukan oleh perdana menteri dan selepas itu perdana menteri akan menasihati kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan sama ada pembubaran boleh dilakukan atau sebaliknya," tambahnya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk tidak melanjutkan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditemeterai antara kerajaan dan pembangkang.
Justeru beliau berkata, tidak ada keperluan mana-mana pihak mencadangkan untuk melanjutkan MoU itu lagi.