Penangguhan pemilihan parti UMNO relevan - Penganalisis politik
Bernama
Mei 13, 2022 07:00 MYT
Mei 13, 2022 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penangguhan pemilihan UMNO adalah relevan untuk memastikan parti itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata usul pucuk pimpinan UMNO untuk menangguhkan pemilihan adalah bagi mengelak berlakunya kacau-bilau yang boleh menjejaskan persediaan parti itu menghadapi PRU15.
Beliau berkata perkara itu cuba direalisasikan melalui Perhimpunan Agung Khas UMNO yang akan berlangsung Ahad ini.
"UMNO tak boleh lagi berpecah. Mereka harus bersatu. Kalau berpecah, ia akan melemahkan lagi UMNO.
"Diharapkan polemik yang berlaku dapat dirungkaikan. UMNO seharusnya menumpukan pada PRU15 bukan pemilihan. Jadi diharapkan ada kesan positif pada perhimpunan khas ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara Bahas terbitan Bernama TV bertajuk 'PAU Khas: Ke Arah Transformasi Politik Atau Masih di Gelanggang Purba' malam tadi yang turut menampilkan Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara Mujibu Abdul Muis dan Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Profesor Sivamurugan Pandian.
Mohd Azizuddin juga tidak menolak kemungkinan usul penangguhan pemilihan parti, yang sepatutnya diadakan hujung tahun ini, akan mencetuskan polemik kepada UMNO.
"Sekiranya diluluskan sekalipun, ada risiko pihak yang tidak puas hati membawa usul ini ke mahkamah seperti yang berlaku pada pemilihan 1987 yang membawa kepada pengharaman UMNO," katanya.
Sivamurugan pula berkata sekiranya UMNO melaksanakan segala prosedur perundangan, agak sukar untuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan parti itu untuk meminda perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan parti.
"Dalam suasana seperti ini, ROS perlu melihat secara teliti, perhalusi supaya bucu-bucu bocor mungkin boleh dibawa bincang secara musyawarah dengan parti dan tidak dilihat campur tangan politik tertentu.
"Kita tahu dalam konteks untuk kelulusan ini, akan ada pihak yang cuba melangkaui peraturan dan undang-undang. Akan ada pihak yang cuba menidakkan penangguhan pemilihan.
"Dalam konteks ini, ROS harus mempertahan integriti mereka dan pada waktu yang sama, agensi lain juga perlu main peranan menjadi semak dan imbang kepada segala ketetapan yang dilakukan secara teratur oleh parti," katanya.
Pendapat sama turut dikongsikan oleh Mujibu yang turut tidak menolak wujud kebarangkalian berlaku sabotaj daripada pihak ataupun kumpulan tertentu yang tidak bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti.
"Kita nampak bibit perpecahan UMNO itu sudah ada apatah lagi lepas pemilihan sebelum ini yang menyaksikan bagaimana jawatan yang dipertanding jelas menimbulkan kelompok tertentu," katanya.
Jika pindaan perlembagaan tidak dilaksana, UMNO perlu mengadakan pemilihan parti pada hujung tahun ini. Pemilihan parti terakhir ialah pada 2018.
-- BERNAMA