Penamaan calon PRN Melaka berlangsung dalam norma baharu
Bernama
November 7, 2021 20:04 MYT
November 7, 2021 20:04 MYT
MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula esok dengan proses penamaan calon di 28 pusat penamaan, akan menyaksikan suasana norma baharu dalam perjalanan pilihan raya di negara ini.
Walaupun jumlah vaksinasi populasi dewasa rakyat Malaysia telah melebihi tahap 95 peratus, namun langkah berwaspada tetap perlu diambil bagi mengelakkan PRN berkenaan mencetuskan kluster baharu COVID-19.
Proses penamaan calon itu akan bermula pada 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan dan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19, hanya calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka, dibenarkan masuk ke pusat penamaan bagi mengemukakan kertas pencalonan calon.
Mengikut kaedah perjalanan pilihan raya yang digariskan Suruhanjaya Plihan Raya (SPR), bagi calon, pencadang dan penyokong yang mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selsema atau suhu badan melebihi 37.4 darjah celcius, mereka tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon dan akan diuruskan oleh Penolong Pegawai Pengurus (PPP) yang lengkap pakaian perlindungan diri (PPE).
Borang penamaan calon itu akan dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada Pegawai Pengurus (RO) untuk semakan.
Calon juga tidak dibenarkan berarak bersama para penyokong parti masing-masing atau mengadakan sebarang aktiviti berkumpulan, dan prosedur operasi standard (SOP) yang sama juga perlu dipatuhi calon semasa berkempen dan semasa berada di pusat penjumlahan undi.
Kempen PRN ini juga akan menyaksikan penggunaan medium dalam talian menjadi pilihan semua parti bertanding, bagi mematuhi larangan Kementerian Kesihatan (KKM).
Bagi prosedur perjalanan hari mengundi, Pemandu Arah Pusat Mengundi (PAPM) akan menjalankan saringan suhu badan kepada individu yang memasuki pusat mengundi, dan pengundi perlu sanitasi tangan serta memakai pelitup muka.
Individu yang bergejala atau demam dengan suhu melebihi 37.4 darjah celcius tidak dibenarkan masuk ke tempat mengundi dan akan dibawa ke tempat mengundi khas (khemah pengundi bergejala) yang dikendalikan petugas KKM.
PAPM akan menguruskan pengundi bergejala yang ditempatkan di tempat mengundi khas itu dengan membawa dokumen pengenalan pengundi kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) saluran asal tempat pengundi mengundi.
Ejen barung juga disaran memainkan peranan dalam memastikan proses pengundian di tempat mengundi khas itu dilaksanakan dan kertas undi pengundi akan dimasukkan dalam plastik dan disanitasi sebelum dimasukkan ke dalam peti undi.
Selain itu, pengundi perlu mengimbas kod QR MySejahtera atau merekod maklumat diri di luar sebelum masuk ke saluran pengundi, manakala petugas media dan pemerhati yang diberikan pas SPR perlu mengimbas kod QR di pintu masuk pusat mengundi atau di khemah saringan suhu badan.
Setakat semalam (Sabtu), jurucakap SPR memaklumkan sebanyak 550 borang penamaan calon telah dijual dan seramai 12,900 individu dilantik bagi mengendalikan PRN Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.
Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.
Esok, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh akan mengadakan sidang media pada 11 pagi selepas proses penamaan calon ditutup.
-- BERNAMA