Pemuda UMNO Pulau Pinang desak Najib undur
Harits Asyraf Hasnan
Mei 11, 2018 07:45 MYT
Mei 11, 2018 07:45 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatannya selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketuanya, Rafizal Abd Rahim berkata perletakan jawatan itu bagi memberi laluan kepada pemimpin muda yang lebih relevan dan disayangi rakyat.
"Kami bukan cuba mencari alasan atau tempat untuk menunding jari di atas kekalahan BN baru-baru ini tetapi pada hakikatnya beliau (Najib) adalah penyebab utama kekalahan Barisan Nasional di peringkat Pusat mahupun di peringkat Negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rafizal berkata, sebagai pemimpin yang 'berjiwa besar', beliau perlu segera menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi UMNO kepada orang yang lebih layak daripada beliau.
Tegasnya, UMNO perlu melalui satu proses ‘Reformasi Dalaman’ dan penjenamaan semula demi memastikan ia kembali relevan pada PRU15 nanti.
"Pada PRU15 nanti semakin ramai orang muda yang akan menjadi ‘First Time Voters’ maka transisi jawatan presiden di dalam UMNO perlu disegerakan dan diberi kepada pemimpin yang muda dan popular di kalangan rakyat."
PRU14 menyaksikan penguasaan 60 tahun BN berkubur apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen, selain hilang penguasaan di beberapa negeri seperti Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
#Barisan Nasional
#BN
#letak jawatan
#Najib Razak
#Pemuda UMNO
#penjenamaan semula
#pilihan raya umum
#Presiden UMNO
#PRU14
#PRU15
#pulau pinang
#reformasi dalaman
#relevan
#transisi