Pemuda UMNO perlu jadi 'hero' basmi dadah - Sohaimi

Wan Syamsul Amly, Harits Asyraf Hasnan
Disember 6, 2017 17:30 MYT
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, ia sekali gus membuktikan kesungguhan parti itu melalui pelbagai biro di dalam sayapnya sendiri. - Foto AstroAWANI / SHAHIR OMAR
UMNO tidak pernah berkompromi dalam usaha membasmi dadah selain melihatnya usaha berterusan yang menjadi jihad parti itu sendiri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, ia sekali gus membuktikan kesungguhan parti itu melalui pelbagai biro di dalam sayapnya sendiri.
"Kerajaan itu tidak lagi boleh guna cara lama lagi dan kena cari kaedah baru. Penguatkuasaan yang perlu kita buat adalah untuk menyekat.
"Pertama sudah tentulah untuk pencegahan; kedua adalah kesedaran dan yang ketiga penguatkuasaan.
"Jadi saya tekankan tiga perkara ini kerana ini jadi isu rakyat dan masyarakat. UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menjuarai isu ini dan saya hendak sarankan kepada Pemuda UMNO supaya ada kempen pencegahan kesedaran dadah dan juga membuat satu jihad agresif utk membasmi penyalahgunaan dadah," katanya semasa ditemui sempena Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.
Tegasnya, sayap Pemuda UMNO sendiri harus menekankan isu dadah dalam memastikan anak muda tidak terjebak dengan gejala yang merosakkan negara itu.
"Bagi Pemuda UMNO, isu ini harus dilihat dalam konteks yang lebih luas dan impak negatifnya perlu dihentikan sebelum ia merosak anak bangsa.
"Kerana itu saya mahu parti menjadi hero dan berjihad dalam memastikan isu ini tidak berpanjangan, ujarnya.
Statistik yang dikeluarkan Jabatan Penjara baru-baru ini menunjukkan sebanyak 56 peratus daripada jumlah banduan di negara ini dipenjara akibat kesalahan berkaitan dadah.
Jumlah itu sekiranya diterjemahkan kepada angka merujuk kepada 33,500 daripada 59,600 banduan keseluruhannya di Malaysia.
Lebih membimbangkan ialah apabila 71.3 peratus daripada jumlah banduan yang melakukan kesalahan berkaitan dadah itu adalah orang Melayu.
#Barisan Nasional #Dadah #jihad #majlis tertinggi #Melayu #Pemuda UMNO #Sohaimi Shahadan #UMNO
;