Pemuda UMNO Perak buat laporan polis terhadap posting FB portal berita
Abd Razak Mohd Ali
Mac 11, 2020 06:17 MYT
Mac 11, 2020 06:17 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO Perak pada Rabu membuat laporan polis terhadap akaun Facebook sebuah portal berita yang didakwa mengeluarkan kenyataan palsu, fitnah dan menjelikkan terhadap kepimpinan UMNO negeri pada Selasa.
Pengerusi Sekretariat Undang-Undang Pemuda UMNO Perak, Faridzul Azlan Abd Sani berkata, pihaknya berharap tindakan sewajarnya dapat diambil susulan laporan berita yang mendakwa UMNO negeri menjadi dalang gerakan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bekas exco dalam isu pelantikan menteri besar baharu.
"Laporan yang dibuat adalah palsu, memfitnah dan berunsur jelik ke atas kepimpinan tertinggi UMNO dengan menuduh terdapat sogokan dan tawaran daripada UMNO Perak melibatkan RM7.5 juta seorang untuk membeli ADUN dari Pakatan Harapan.
"Artikel ini saya percaya berniat jahat, provokatif, mencetuskan persepsi negatif dan boleh mengganggu proses pemilihan Menteri Besar oleh Sultan Perak.
"Ia juga boleh menambah kegusaran rakyat serta menimbulkan pandangan jelik terhadap pemimpin UMNO dan Muafakat Nasional Negeri Perak," katanya.
Beliau ditemui selepas bersama ketua-ketua serta wakil pergerakan Pemuda UMNO seluruh Perak membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, di sini, pada Rabu.
Faridzul Azlan berkata beliau yang mewakili 24 Bahagian Pemuda seluruh negeri mahu pihak berkuasa serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1995 ke atas pemilik serta editor portal berita berkenaan.
Menurutnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun, terpulang kepada pucuk pimpinan UMNO Perak, khususnya beberapa nama yang dikaitkan oleh hantaran tersebut, untuk mengambil tindakan undang-undang.
Pada Selasa, Sultan Nazrin Shah memberi perkenan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak ke-12, sekali gus menyaksikan jawatan semua exco tergugur.
Pada Isnin, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia mendapat sokongan 32 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
#ADUN
#Ahmad Faizal Azumu
#beli ADUN
#dalang
#editor
#Exco
#Faridzul Azlan Abd Sani
#fitnah
#kenyataan palsu
#laporan polis
#Menteri Besar
#Pakatan Harapan
#Pemuda UMNO
#Perak
#portal berita
#provokatif
#Sultan Nazrin Shah
#Sultan Perak
#UMNO