Pemuda UMNO: Kita tak minat pelawaan kerjasama AMK - Azwan Bro
Hans Yusoff
Mac 4, 2016 07:57 MYT
Mac 4, 2016 07:57 MYT
Jemputan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin kepada Pemuda UMNO untuk bekerjasama merupakan pendekatan mengaut keuntungan politik yang bersifat populis.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ia juga taktik politik jangka pendek dan lebih kepada langkah menangguk di air keruh.
"Kami tidak berminat untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Pemuda UMNO lebih suka untuk menjauhkan diri dari terlibat dengan politik kebudak-budakan seperti ini.
"Kami kira wajar Dr Afif mula dengan mengajak rakan-rakan lain di dalam AMK untuk sama-sama bersatu di bawah kepimpinan Nik Nazmi dahulu sebelum memulakan apa-apa gerakan nasional.
"Kepimpinan itu harus melalui teladan dan kami kira AMK tidak menunjukkan teladan yang baik dengan mengajak anak-anak muda bersatu namun pada masa yang sama berkecamuk di dalam rumah sendiri," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Khairul Azwan mengulas jemputan kerjasama Dr Afif kepada Pemuda UMNO yang mendakwa ia usaha untuk keluar dari belenggu lama dan mencipta sejarah baharu yang tersendiri.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Md Akin berpandangan sebaliknya dengan beranggapan pelawaan AMK adalah demi perubahan ke arah politik baharu yang mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
"Pelawaan Dr Afif perlu dilihat secara meluas dan ini bukan satu seruan politik. Ia adalah lebih kepada seruan mengajak Pemuda UMNO bersama-sama melakukan perubahan demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.
Shamsul turut menegaskan tiada istilah musuh atau rakan kekal dalam politik sebaliknya apa yang kekal hanya prinsip kebersamaan menegakkan keadilan demi kebaikan negara.
Bagaimanapun, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mempunyai pandangan sebaliknya dan melihat pelawaan AMK sebagai memalukan memandangkan sayap PKR itu sepatutnya mampu berjuang menegakkan kebenaran tanpa pelu menagih sokongan pihak lain terutamanya UMNO.
"Pada saya jemputan Dr. Afif sebagai tindakan memalukan AMK dan parti memandangkan mereka sepatutnya sudah cukup kuat untuk mendepani dan merubah nasib negara ini.
"Perjuangan ini bukan sahaja untuk menjatuhkan seorang individu malah melebihi daripada segalanya. Saya khuatir rakyat akan melihat AMK itu tidak kuat sehingga terpaksa mengajak UMNO."
Badrul pada masa menasihati agar Dr. Afif dan kepimpinan AMK lain menghormati semangat serta roh parti dengan menggerakkan satu perjuangan rakyat dan melupakan hasrat bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan masa depan parti.