Pemuda UMNO kesal DAP pertahan ADUN Tronoh dituduh rogol
Astro Awani
Ogos 24, 2019 09:00 MYT
Ogos 24, 2019 09:00 MYT
Pemuda UMNO kesal dengan sikap pemimpin-pemimpin DAP yang bersungguh-sungguh mempertahankan Paul Yong Choo Kiong dengan pelbagai teori konspirasi walaupun mahkamah baharu sahaja mendengar pertuduhan rogol yang dikenakan terhadapnya.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, mereka yang kononnya memperjuangkan prinsip ‘Rule of law’ seharusnya menyerahkan sepenuhnya kepada sistem kehakiman dan perundangan untuk menentukan sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu bersalah atau sebaliknya.
“Kita memandang serius dakwaan terhadap Yong di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana dituduh merogol pembantu rumah warga Indonesia.
“Setelah desakan demi desakan terhadap Peguam Negara atas kelewatan pendakwaan yang membabitkan pemimpin kanan kerajaan, bahkan menerima perhatian masyarakat antarabangsa kerana melibatkan warga negara jiran Indonesia, akhirnya ADUN Tronoh itu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Ipoh.
“Kita juga menyokong saranan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar Yong bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Exco kerana dia berhadapan dengan kes berat yang melibatkan rogol,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Pada Jumaat, Yong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan merogol seorang wanita di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, pada 7 Julai lalu.
Hakim membenarkan Yong diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept ini sebagai tarikh pengurusan kes.
Asyraf dalam kenyataannya sekali lagi mendesak Yong untuk bercuti.
“Kita juga menggesa pemimpin-pemimpin DAP agar menghormati undang-undang dan sistem kehakiman negara serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai penghinaan kepada sistem perundangan negara,” tambahnya.
Mengulas isu sama, Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, keengganan tertuduh untuk bercuti semasa menghadapi perbicaraan kes rogol benar-benar memeranjatkan ramai.
Selain itu, katanya, isu hubungan dengan negara jiran Indonesia juga perlu diambil kira memandangkan kes itu berprofil tinggi selain pastinya kerajaan dan media Indonesia mengikuti rapat serta memberi liputan yang meluas di Jakarta.
“Bukan sahaja orang ramai malah ahli-ahli parti dari kedua belah pihak sama ada pembangkang mahupun kerajaan berasa yang serupa apabila mendengar hasratnya yang masih mahu meneruskan tugas seperti biasa.
“Malahan, cadangan ini datang daripada Ahmad Faizal sendiri, tetapi dia masih berkeras mahu meneruskan tugas mempengerusikan mesyuarat, membuat keputusan dan menghadiri mesyuarat exco.
“Keputusan itu menunjukkan sikap hipokrasi DAP di tahap yang paling tinggi. Tidak ada apa yang boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat secara umum,” ujarnya.
Tambah Bastien, DAP sebelum ini juga pernah mendesak Dewan Rakyat melalui Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diminta bercuti bagi memudahkan siasatan berkaitan kes 1MDB pada 2015.
“Malah, Tony Pua juga pernah menyuarakan cadangan yang sama secara terbuka di media massa. Lebih teruk lagi, Lim Guan Eng sendiri bukan sahaja menyuruh Najib untuk bercuti, malah meletak jawatan.
“Begitu juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang secara terang-terangan menyuruh Najib bercuti bagi memastikan ketelusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
#1MDB
#DAP
#Dewan Rakyat
#Indonesia
#Jakarta
#Lim Guan Eng
#Mohamad Sabu
#Musa Hitam
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#Pandikar Amin Mulia
#rogol
#SPRM
#Tony Pua
#UMNO