Pemuda UMNO Johor ketengah isu kenaikan kos sara hidup

Bernama
Disember 5, 2015 12:00 MYT
HAHASRIN: Umumnya Pemuda Johor membawa hasrat dan suara akar umbi yang rata-rata mahukan parti keramat UMNO berjaya menempuhi situasi politik kini sebaik-baiknya.
Isu orang muda mahukan peluang dan ruang dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup bakal menjadi perjuangan Pemuda UMNO Johor pada perhimpunan agung parti itu yang bermula Selasa ini.
Ketua Pemuda UMNO Johor Hahasrin Hashim berkata isu itu dilihat penting memandangkan golongan ini mahukan peluang dalam bidang kemahiran dan keusahawanan.
Selain itu, isu lain seperti pemilikan rumah oleh golongan muda khususnya akses kepada pembiayaan yang lebih banyak serta isu domestik Johor yang perlukan bantuan dan sokongan kerajaan pusat, seperti air dan pengangkutan awam, akan turut diketengahkan.
"Umumnya Pemuda Johor membawa hasrat dan suara akar umbi yang rata-rata mahukan parti keramat UMNO berjaya menempuhi situasi politik kini sebaik-baiknya," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi.
Hahasrin berkata harapan mereka agar perhimpunan agung kali ini dapat menjadi titik tolak kepada episod baharu yang lebih baik kepada UMNO.
"Kami mahu ia jadi medan memperkukuhkan kembali kesepakatan dan perpaduan. Selain itu, kami juga mahu kepimpinan menjadikan perhimpunan sebagai medan untuk mendengar secara terus dan tulus hasrat akar umbi," kata Hahasrin, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara.
Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata pemimpin UMNO diminta agar lebih berani melawan persepsi negatif yang dilontarkan pembangkang, yang perlu ditonjolkan pada perhimpunan agung akan datang.
Beliau berpendapat ketika ini, majoriti anggota UMNO masih setia kepada parti tetapi generasi muda terdedah kepada maklumat dalam talian sehinggakan kesempatan itu diambil oleh pembangkang untuk mendidik golongan muda bahawa UMNO adalah sebuah parti rasuah, nepotisme dan kronisme.
"Tetapi, sayangnya UMNO sudah kalah dengan persepsi itu dan panglima perang sibernya tidak cukup bijak menangani masalah khasnya Bahagian Penerangan," kata Zainal Abidin.
Bekas Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya itu turut berharap agar penyertaan golongan muda turut dititikberatkan dalam setiap keputusan dan aktiviti yang dilakukan oleh parti.
#ketua pemuda #UMNO
;