Pemuda UMNO gesa calon bertanding buat aku janji kesetiaan
Bernama
Jun 27, 2018 05:25 MYT
Jun 27, 2018 05:25 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO pada Rabu menggesa semua calon yang bertanding pada pemilihan parti, Sabtu ini supaya membuat aku janji kesetiaan terbuka kepada anggota parti.
Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata aku janji itu bertujuan memastikan mereka terus berjuang di dalam UMNO dan sebagai lambang kesetiaan kepada parti.
"Saya minta mereka (yang bertanding) mesti membuat aku janji kesetiaan kepada parti, jangan sesekali mengggunakan alasan bahawa kalau kita tidak terpilih, itu seolah-olah tandanya kita ditolak. Akhirnya, kita meninggalkan bahtera perjuangan," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Pemuda dan Puteri UMNO Johor Bahru, di sini, malam tadi.
Asyraf Wajdi berkata sekiranya terdapat mana-mana golongan yang kalah dalam pemilihan itu yang meninggalkan parti, maka, mereka merupakan golongan yang menderhaka kepada perjuangan parti dan rakyat.
Katanya ini kerana para pemimpin parti masih mempunyai tanggungjawab terutamanya dalam memelihara kepentingan agama dan bangsa dan negara.
Beliau turut menggesa calon yang tewas dalam pemilihan sayap baru-baru dan sesiapa yang tewas pada Sabtu ini supaya terus berganding bahu dan bekerjasama sebagai satu pasukan dan bukan berpecah atau berpuak-puak.
"Siapa yang dipilih perwakilan menjadi presiden parti Sabtu ini, dialah presiden kita. Saya percaya perwakilan cukup matang.
"Saya tidak mahu ada kumpulan dalam parti, kelompok dalam jemaah, kerana ini akan melemahkan kita dalam kita hendak membina semula parti," katanya.
--BERNAMA
#Aku Janji
#Asyraf Wajdi Dusuki
#calon
#derhaka
#kalah
#lompat parti
#parti
#pemilihan
#Pemuda UMNO
#presiden
#setia
#UMNO