Pemuda UMNO desak Ahmad Zahid letak jawatan?

Sinar Harian
Oktober 25, 2018 14:02 MYT
Ahmad Zahid turut disiasat berhubung dakwaannya bahawa RM116.7 juta yang dirampas dalam serbuan di premis berkaitan Najib adalah milik UMNO. - Gambar fail
Pemuda UMNO akan membuat desakan supaya Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan ekoran kes mahkamah yang dihadapi beliau.
Menurut sumber, desakan itu bakal dibuat dalam Mesyuarat Exco Pemuda UMNO yang diadakan hari ini di Ibu Pejabat UMNO di Bangunan Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Desakan itu susulan Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu atas 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.
“Mesyuarat itu akan mendesak Ahmad Zahid letak jawatan atau berundur dan berehat. Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO) akan diminta memangku jawatan itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Sumber itu berkata, dalam beberapa siri perjumpaan membabitkan Pemuda UMNO, sayap parti itu mahu Ahmad Zahid berundur.
“Saya tidak tahu sejauh mana Ahmad Zahid mampu bertahan,” kata sumber itu.
Kata sumber itu lagi, Datuk Seri Najib Razak juga akan didesak supaya meninggalkan UMNO kerana kes yang dihadapi bekas Presiden UMNO itu memberi imej tidak baik kepada parti.
Dalam pertuduhan tersebut, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibaca dihadapan hakim Azura Alwi.
Rentetan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat bagi membincangkan hala tuju dan tindakan parti susulan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut senada dengan Mohamad berkata, keputusan mengenai kedudukan Ahmad Zahid wajar ditentukan menerusi mesyuarat MT UMNO.
Semalam, Ahmad Zahid juga disiasat berhubung dakwaannya bahawa RM116.7 juta yang dirampas dalam serbuan di premis berkaitan Najib adalah milik parti itu.
Difahamkan, keterangan Ahmad Zahid diambil pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara Bukit Aman, dan berlangsung selama satu setengah jam.
Menurut sumber itu, polis akan memanggil beberapa lagi pemimpin UMNO sekiranya perlu bagi membantu siasatan kes sama.
#Ahmad Zahid Hamidi #hala tuju #imej parti #lepas jawatan #letak jawatan #mahkamah #mesyuarat #Mohamad Hasan #Najib Razak #pecah amanah #pemimpin UMNO #Pemuda UMNO #pengubahan wang haram #polis #presiden #PWTC #UMNO
;