Pemuda UMNO bukan lagi 'yes man' - Penganalisis

Sinar Harian
Oktober 27, 2018 10:25 MYT
Ahmad Marthada berkata, sayap dan ahli lain dalam parti juga perlu sama-sama lantang bersuara seperti yang dilakukan Pemuda UMNO. - Gambar hiasan
Tindakan Pemuda UMNO yang berani mencadangkan supaya Presiden UMNO Datuk, Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berehat membuktikan sayap parti itu bukan lagi pengampu atau 'yes man'.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, tindakan Pemuda UMNO juga tidak seharusnya dikritik memandangkan ia langkah perlu dalam usaha mentransformasikan parti Melayu itu.
"Gesaan yang dibuat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi saya satu tindakan wajar. Saya lihat ia sebagai pendekatan UMNO baharu yang sebelum ini tidak berlaku kerana budaya 'yes man' masih kuat dalam parti.
"Seharusnya, sayap dan ahli lain dalam parti juga perlu sama-sama lantang bersuara seperti yang dilakukan Pemuda UMNO dan tindakan mereka tidak seharusnya dikritik. Jika tidak, saya yakin UMNO belum sedia untuk berubah," katanya.
Pada Khamis, Pemuda UMNO mencadangkan Ahmad Zahid untuk bercuti seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO sehingga kes pertuduhan mahkamah yang dihadapinya selesai.
Ahmad Zahid menghadapi 45 tuduhan di mahkamah membabitkan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan ubah wang haram membabitkan nilai RM114 juta.
Mengulas lanjut, kata Ahmad Marthada, beliau bersetuju dengan gesaan meminta Ahmad Zahid bercuti dan gesaan yang dibuat Pemuda UMNO juga dalam nada penuh berhemah tanpa niat memalukan presiden.
"Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab untuk bercuti demi UMNO itu sendiri dan dalam masa sama mengelakkan imej parti tercalar.
"Kita juga tidak mahu lihat UMNO berpecah dengan ada yang mahukan Ahmad Zahid bercuti dan ada yang mahukan sebaliknya. Jika Ahmad Zahid ambil keputusan bercuti, maka segalanya boleh selesai," katanya.
#Ahmad Marthada Mohamed #Ahmad Zahid Hamidi #Asyraf Wajdi Dusuki #cuti #mahkamah #pecah amanah #Pemuda UMNO #pengampu #penganalisis #Pertuduhan #politik #Presiden UMNO #Rasuah #UMNO #yes man
;