Pemuda UMNO akan jumpa Najib, bawa usul akar umbi - Khairy

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 24, 2015 18:32 MYT
Megulas berkenaan usul beberapa bahagian UMNO yang mahu pemilihan parti diadakan seperti dijadual, Khairy berkata Pergerakan Pemuda masih tetap dengan pendirian Majlis Tertinggi yang menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan. - Gambar Fail
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyampaikan usul-usul yang dicapai dalam kesemua Mesyuarat Perwakilan Pemuda Bahagian.
Menurut Khairy, ia termasuk usul tergempar Pemuda UMNO Bahagian Tampin yang sebulat suara menerima dan meluluskan usul meminta Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Pada masa sama, pihaknya pihaknya akan meminta pengurusan Pemuda UMNO untuk meneliti setiap usul yang diterima bagi memahami keadaan akar umbi dengan lebih mendalam.
"Kita akan bawa isu-isu dan pandangan daripada Pemuda di peringkat akar umbi supaya tindakan dapat diambil terhadap kerisauan dan keresahan mereka.
"Contoh isu ialah berkenaan derma politik, persepsi rakyat, siasatan berhubung derma dana politik dan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang bukan hanya dibincang peringkat Pemuda tapi dalam kalangan anak muda di luar parti," katanya.
Malah, Khairy juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan suara akar umbi diterima oleh kedua-dua pemimpin teratas kerajaan.
Khairy yang ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di sini pada Isnin, berkata setakat ini sebanyak 182 pergerakan Pemuda bahagian telah bermesyuarat dan baki sembilan lagi akan selesai hujung minggu ini.
Sementara itu, dalam mesyuarat yang sama, beliau berkata, Pemuda UMNO telah mencapai beberapa ketetapan antaranya adalah mahu isu besar seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana politik diselesaikan segera.
"Kami telah ambil ketetapan bahawa isu tersebut perlu diselesaikan dengan segera dan kita akan bagi masa supaya ia dapat diselesaikan melalui proses siasatan yang telah berjalan.
"Kami juga telah ambil ketetapan untuk terus kukuhkan parti walaupun dalam keadaan berdepan dengan pelbagai cabaran dan yakin kemelut tersebut dapat diselesaikan," katanya.
Beliau berkata pergerakan Pemuda sebagai badan pergerakan yang mewakili suara orang muda dan jambatan yang menghubungkan antara UMNO dan pengundi muda, perlu memainkan peranan untuk menyampaikan persepsi serta perspektif golongan muda kepada pucuk pimpinan.
"Setiap usul tidak akan ditapis ... (Pemuda) akan sampaikan apa yang kita dengar dari anak muda terutama di luar parti supaya pucuk pimpinan dapat lakukan apa yang patut untuk kembalikan keyakinan mereka terhadap parti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata pergerakan itu tidak akan membuat sebarang keputusan ketika ini mengenai usul supaya pemilihan parti diteruskan tahun depan.
"Buat masa ini kita masih terikat dengan keputusan untuk menunda pemilihan parti selama 18 bulan, tapi memandangkan ada pandangan akar umbi, kita akan selesaikan dulu mesyuarat perwakilan, kemudian barulah lihat sejauh mana pandangan itu dipegang oleh Pemuda akar umbi," katanya.
Beliau ditanya mengenai terdapat usul daripada UMNO bahagian yang mahukan pemilihan parti tidak ditunda, sebaliknya diteruskan seperti biasa tahun depan.
Pada 26 Jun lepas, Majlis Tertinggi UMNO memutuskan pemilihan parti yang dijadual pada tahun depan akan ditangguhkan selama 18 bulan bagi memberi keutamaan terhadap khidmat parti kepada rakyat serta usaha memperkukuhkan parti itu.
#Khairy Jamaluddin #mesyuarat Majlis Tertinggi #Muhyiddin Yassin #Najib Razak #UMNO
;