Pemuda PN tolak budaya politik dominasi, semai perpecahan
Bernama
April 6, 2021 13:39 MYT
April 6, 2021 13:39 MYT
KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) bertegas menolak budaya politik dominasi yang menyemai bibit perpecahan, melahirkan kepimpinan yang rasuah, salah guna kuasa dan kleptokrat.Ketua Penerangannya Muhammad Hilman Idham berkata ia selaras dengan komitmen PN untuk melakukan penjernihan demokrasi melalui penerapan nilai-nilai murni dalam politik.
"Kita yakin melalui pengalaman demokrasi negara selama tujuh dekad, Malaysia mampu mengorak langkah untuk menghasilkan sintesis politik berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara untuk membangun bangsa Malaysia yang dinamik dan bersatu padu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Pemuda PN juga menyambut baik seruan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bersatu dan bersama tawaran baharu PN.
Pada masa yang sama, sayap tersebut juga mengalu-alukan pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan MIC yang mendukung kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN.
"Sesungguhnya, keyakinan ketiga-tiga parti bahawa kestabilan politik adalah kunci utama menjamin kepentingan rakyat dan kemakmuran negara adalah selaras aspirasi PN.
"Demokrasi yang unggul menuntut parti politik memaknai pengertian demokrasi sebagai wahana memperkukuh perpaduan dan meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya yang turut menyeru rakyat memperkukuh perpaduan khususnya tatkala mendepani krisis COVID-19.
-- BERNAMA
#Perikatan Nasional
#Muhammad Himan Idham
#penjernihan demokrasi
#Abdul Hadi Awang
#GPS
#Gabungan Parti Sarawak
#COVID-19
#perpaduan
#Muhyiddin Yassin