Pemuda PN sasar 30 peratus calon muda tanding PRN Johor
Aiman Hakeem Awazmin
Februari 13, 2022 11:43 MYT
Februari 13, 2022 11:43 MYT
BATU PAHAT: Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengharapkan 30 peratus calon muda akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.
Timbalan Ketua Pemuda PN Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, peratusan itu turut merangkumi calon wanita.
Katanya, senarai nama calon sudah dihantar kepada pucuk pimpinan parti dan akan diputuskan nanti.
"Parti amat memahami aspirasi ini sebenarnya. Dan saya yakin PN menawarkan calon muda, tak kira umur, yang berkaliber, bersih, ditapis dari segi rasuah dan sebagainya.
"Kami yakin barisan calon ini bersifat mesra anak muda. Kami yakin dengan membariskan anak muda ini dapat menarik minat rakyat untuk bersama-sama dengan kami.
"Kita dapat lihat sendiri pada PRN Melaka, calon-calon yang umurnya muda telah diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memimpin," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN Negeri Johor di Parit Besar dekat sini, malam tadi.
Kata Wan Ahmad Fayhsal, calon muda yang ditampilkan dalam PRN Johor kali ini perlu bersifat segar dan mempunyai rekod bersih, selain diterima masyarakat khususnya golongan muda di Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh penamaan calon ialah pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.