Pemuda PKR nasihat UMNO lapor SPRM isu 'curi', 'beli' ahli
Fareez Azman
Januari 4, 2021 18:54 MYT
Januari 4, 2021 18:54 MYT
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO dinasihatkan agar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli-ahli parti itu.
Saranan itu dibuat Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmar Nasir terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut Akmal, tindakan itu selaras dengan Perkara 25 (1) Akta SPRM iaitu kewajipan melaporkan sogokan.
Malah, tegas Akmal, Asyraf Wajdi juga, tidak perlu menunggu diugut untuk disaman, sebaliknya, melaporkan segera kepada pihak berkuasa.
"Ini juga akan memungkinkan siasatan akhirnya dibuat terhadap rakaman suara yang bocor sebelum ini mirip (Tan Sri) Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM) berkenaan sogokan jawatan dan lantikan untuk sokongan bagi membentuk kerajaan serta kontroversi tawaran surat sokongan Pemuda Bersatu sebagai meraih undi ketika perebutan jawatan parti.
"Sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan siasatan walaupun telah banyak laporan dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Malah tambah Akmal, dakwaan Ketua Pemuda UMNO itu yang mempunyai bukti kukuh berhubung sogokan itu juga amat mendukacitakan sekali gus memperlihatkan apabila budaya politik wang kembali mekar.
"Dakwaan ketua Pemuda UMNO bahawa beliau mempunyai bukti yang kukuh, hanya telah mengesahkan bahawa budaya politik wang kembali mekar dan amat mendukacitakan apabila amalan kotor ini melibatkan parti-parti politik yang berselindung di sebalik sentimen agama dan bangsa," katanya lagi.
Pada 2 Januari lalu, Asyraf mendesak Bersatu agar menghentikan segera sebarang usaha untuk bersaing ahli antara satu sama lain jika mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut mendakwa Bersatu ‘membeli’ dan ‘mencuri’ ahli-ahli UMNO dengan menawarkan sehingga RM100 bagi setiap ahli yang menyertainya.
Manakala setiap cawangan yang ditubuhkan pula akan diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menafikan dakwaan itu yang disifatkan sebagai tuduhan liar tanpa bukti kukuh.
Wan Saiful turut berkata, beliau akan berbincang dengan pihak parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan berkenaan.
#Muhyiddin Yassin
#PPBM
#Wan Saiful Wan Jan
#UMNO
#Pemuda UMNO
#PKR
#Parti Keadilan Rakyat
#SPRM
#siasatan
#undang-undang
#laman sosial
#presiden
#Rasuah
#politik
#curi beli ahli
#ahli UMNO