Pemuda PAS tolak dakwaan sepakat meluluskan RUU Antiberita Tidak Benar
Faiq Chong
April 5, 2018 13:39 MYT
April 5, 2018 13:39 MYT
DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menolak dakwaan yang menyatakan PAS bersepakat dengan pihak kerajaan dalam menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar.
Menurut Timbalan Ketua DPPM, Khairil Nizam Khirudin, dakwaan daripada Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil itu adalah satu tindakan yang tidak beretika dan berniat timbulkan persepsi yang salah terhadap PAS kepada umum.
"Tindakannya itu seolah-olah ingin menimbulkan persepsi buruk kepada umum tentang wujudnya kerjasama di antara PAS dan UMNO.
"PAS menyokong RUU tersebut dan berpendapat ia menjamin hak masyarakat mendapatkan akses berita yang sahih dan benar di samping dapat menyekat penyebaran berita-berita palsu dan fitnah yang berleluasa," katanya melalui kenyataan media di Harakah Daily.
Beliau juga menyatakan semua pihak akan mendapat manfaat daripada pelaksaaan RUU tersebut terutamanya ketika musim pilihan raya.
"Banyak berita palsu dan fitnah bertebaran di media sosial yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ketika pilihan raya semakin hampir," jelasnya.
DPPM turut berharap RUU berkenaan juga tidak akan disalahgunakan untuk kepetingan pihak-pihak tertentu.
Isnin lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Antiberita Tidak Benar yang bertujuan mengawal selia penyebaran berita tidak benar dalam mana-mana medium penerbitan, dengan sokongan sebanyak 123 ahli Parlimen.
RUU berkenaan memperuntukan hukuman denda hingga RM500,000 atau enam tahun penjara terhadap individu yang didapati bersalah.
#Faiz Fadzil
#fitnah
#Khairil Nizam Khirudin
#PAS
#Pemuda Pas
#pilihan raya
#PRU14
#RUU Antiberita Tidak Benar