Pemuda PAS Selangor batal hasrat serah memo kepada DAP
Astro Awani
April 1, 2015 13:59 MYT
April 1, 2015 13:59 MYT
Pemuda PAS Selangor membatalkan hasrat menyerahkan memorandum ke pejabat DAP Kebangsaan, yang dijadualkan esok atas arahan Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali.
Biarpun batal, sayap parti itu tetap mahu memaklumkan kandungan memo tersebut yang mana terdapat tiga perkara yang dituntut daripada DAP.
Antaranya, Pemuda PAS Selangor mendesak DAP supaya menghentikan segala tuduhan liar terhadap presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin lain sebagai pengkhianat dan tidak jujur dalam Pakatan Rakyat.
"Telah terbukti dan dijawab segala pertuduhan yang dilemparkan oleh DAP terhadap Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS dan perjuangan PAS itu sendiri.
"Jadi sewajarnya DAP memohon maaf," kata Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Halim, dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, dengan ruang demokrasi yang ada, Pemuda PAS Selangor memohon supaya DAP memberikan penjelasan terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada parti Islam itu.
Syarhan Humaizi berkata Pemuda PAS berpendapat tindakan DAP pada 24 Mac lalu memutuskan hubungan dengan presiden PAS sebagai tidak demokratik dan menghina ahli-ahli PAS yang telah memilih Abdul Hadi sebagai presiden.
Pemuda PAS Selangor juga kata beliau mahu penjelasan dan pendirian DAP terhadap tindakan ahli parlimen DAP, Nga Kor Ming yang dikatakan memfitnah Mursyidul AM parti Islam itu, Datuk Dr Haron Din.
Kor Ming dikatakan meletakkan poster di laman Facebook rasminya yang menunjukkan Haron bersama menteri UMNO dengan nada yang menghina.
"Poster maya tersebut dipaparkan di page rasmi Nga Kor Ming sejak 6.30 petang 28 Mac 2015.
"Pada kami (Pemuda PAS Selangor), tindakan Nga Kor Ming ini mempunyai niat yang tidak baik," katanya lagi.
DAP juga dituntut membuat penjelasan berhubung tindakan seorang lagi wakil rakyatnya, Dr Ong Kian Meng yang menuduh Abdul Hadi khianat kerana membawa usul persendirian pindaan Akta Mahkamah Syariah.
"Sedangkan suatu masa dahulu, pada 29 April 2013, Lim Guan Eng dan Ustaz Salleh Man bersama-sama mengakui hak-hak perjuangan yang tidak dipersetujui bersama," katanya.
Pemuda PAS Selangor juga mendakwa DAP yang menyakini demokrasi sedang cuba menyekat hak parti itu untuk membawa usul persendirian dengan membuat ugutan dan tuduhan terhadap Abdul Hadi.