Pemuda PAS Pulau Pinang tarik balik boikot PRK Permatang Pauh
Astro Awani
April 29, 2015 21:37 MYT
April 29, 2015 21:37 MYT
Selepas bertegas tidak akan membantu jentera PKR pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh sebelum ini, Dewan Pemuda PAS (DPP) Pulau Pinang hari ini membuat 'pusingan U' apabila menyatakaan kesediaan bekerjasama semula dengan PKR.
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Md Piah dalam sidang media tergempar pada Rabu berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat bersama wakil Dewan Pemuda PAS Pusat pada Selasa.
"Hasilnya, kami sebulat suara akur dengan arahan PAS Pusat untuk bekerjasama membantu gerak kerja PRK Permatang Pauh dalam usaha untuk mempertahankan kerusi panas itu daripada jatuh ke tangan musuh.
"Setelah berbincang dalam mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, kami sebulat suara memutuskan untuk akur dengan arahan PAS pusat bagi mebantu gerak kerja PKR Permatang Pauh," katanya.
Yusni menambah, pihaknya akan menggerakkan pemuda PAS negeri bagi membantu jentera PKR dalam tempoh berkempen.
Bagaimapaun jelasnya, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang tetap dengan pendirian sebelum ini yang mendesak supaya Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang memohon maaf dan menarik balik kenyataan melampau terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Kenyataan AMK Pulau Pinang yang menuduh Abdul Hadi mengadakan kerjasama dnegan Barisan Nasional (BN) mengguris hati dan perasaan Pemuda PAS di semua peringkat.
"Berikutan kenyataan biadap AMK itu, Pemuda PAS negeri merehatkan jentera mereka daripada membantu pakatan pembangkang sejak kempen dilancarkan.
"Kita tidak tunduk dan masih dengan pendirian sebelum ini. Tetapi pada masa yang sama, kita tidak mahu kerusi Permatang Pauh terlepas dari tangan Pakatan Rakyat wakaupun yang bertanding ni rakan kita dari PKR, kerana itu kita minta mereka mohon maaf," ujarnya.
AMK Pulau Pinang sehingga hari ini masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada untuk menarik balik kenyataan tersebut atau membuat permohonan maaf.