Pemuda PAS gesa wujudkan Jawatankuasa Krisis MB Selangor

Haider Yutim
Ogos 10, 2014 04:22 MYT
BIMBANG: Suhaizan mahu Jawatankuasa Krisis MB diwujudkan segera. Gambar fail
Dewan Pemuda PAS hari ini menggesa agar sebuah Jawatankuasa Krisis MB Selangor diwujudkan bagi menyelesaikan masalah yang berkemungkinan berlaku akibat pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya bimbang sekiranya ruang tersebut akan dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka dengan mewujudkan kekacauan di negeri Selangor.
"Pemuda PAS sangat khuatir ruang ini akan dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka dengan mewujudkan kekacauan dalam Negeri Selangor agar Dewan Undangan Negeri dapat dibubarkan.
"Justeru dicadangkan Jawatankuasa Krisis MB Selangor perlu diwujudkan segera oleh PR bagi menangani masalah yang akan berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya pemecatan Abdul Khalid menyebabkan Menteri Besar Selangor itu bukan lagi ahli Pakatan Rakyat (PR), justeru meletakkan pentadbiran kerajaan negeri dalam keadaan tidak stabil.
Memetik contoh daripada krisis yang belaku di Perak pada tahun 2009, Suhaizan turut mendesak agar konflik ini dapat ditangani dengan segera secara harmoni melalui majlis Presiden PR.
"Pemuda PAS bersedia menerima apa juga arahan melalui kepimpinan tertinggi PAS bagi menyelesaikan kemelut ini," katanya.
Selain itu, beliau juga memberi arahan kepada kesemua ahli pemudanya supaya tidak bertindak secara sendirian kerana ia akan menambah kesulitan terhadap krisis yang berlaku.
Beliau meminta mereka supaya bertenang, bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan serta menunggu arahan dari Pejabat Pemuda PAS Malaysia.
Pada 7 Ogos lalu, Pemuda PR mencadang agar diadakan pertemuan lapan mata di antara Abdul Khalid dengan ketiga-tiga pemimpin utama mereka iaitu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam sebuah kenyataan bersama oleh Suhaizan, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda Sosialis DAP Teo Kok Seong, mereka melahirkan rasa bimbang tentang masa depan PR.
Pada Sabtu 9 Ogos 2014 pula, dalam satu mesyuarat, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah bersetuju menyokong usaha memperteguh PR seperti yang dipertegaskan oleh Majlis Syura Ulama dan bersedia menjadi pendamai kepada krisis yang sedang berlaku.
Mereka juga sebelum ini telah mendesak supaya mesyuarat PAS Pusat diadakan segera bagi memastikan kemelut politik yang melanda parti itu dan Pakatan Rakyat.
Abdul Khalid semalam telah dipecat dari PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, keputusan itu telah dibuat pada Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib terhadap Abdul Khalid.
#Abdul Khalid Ibrahim #MB Selangor #Pemuda Pas #PKR #Suhaizan Kaiat